Perkasa keselamatan siber
5th October 2005 (Berita Harian)
By Khairul Anuar Abdul Samad

KEKEBALAN sistem pertahanan negara khususnya dalam menangkis sebarang serangan siber mampu dipertingkatkan apabila Pusat Tindak Balas Kecemasan ICT Kebangsaan (Niser) kini di bawah pentadbiran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti).

Niser sebelum ini di bawah badan induknya Mimos, dibentuk oleh Majlis Teknologi Maklumat Kebangsaan (NITC) pada 1998 bertujuan mengatasi isu berkaitan sekuriti teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Jamaludin Jarjis berkata, usaha ini penting memandangkan kerajaan mula menjadikan agenda menjaga keselamatan siber antara isu utama ke arah pembangunan negara.

Katanya, aspek keselamatan penting kepada negara terutama berkaitan dengan siber yang mana kegagalan menanganinya memberi kesan kepada ekonomi negara sekali gus gagal menarik pelabur bertapak di sini.

"Ini membuktikan komitmen tinggi kerajaan dalam menyediakan ciri keselamatan tinggi bersesuaian dengan senario ICT yang cepat berubah dan meyakinkan pelabur untuk membuat pelaburan di sini.

"Bagi memantapkan ciri keselamatan ini, Kabinet bersetuju meletakkan Niser di bawah Mosti," katanya kepada media selepas merasmikan Pameran dan Persidangan e-Secure Malaysia 2005, di Kuala Lumpur, Khamis lalu.

Niser dilancarkan secara rasmi oleh Datuk Seri Abdullah Badawi yang ketika itu Timbalan Perdana Menteri, pada 10 April 2001.

Walaupun pengumuman ini baru dibuat, Jamaludin berkata, sekiranya Niser memerlukan sebarang peningkatan, Mosti akan membantu melaksanakannya.

"Belum ada sebarang pengumuman lagi dan Niser akan tetap diketuai oleh Pengarahnya kini, Kolonel Husin Jazri, yang akan bertindak membuat sebarang laporan dan perkembangan terkini terus ke Mosti," katanya.

Beliau berkata, kerajaan kini melaksanakan draf Polisi Sekuriti Maklumat Negara (NISP) yang bermatlamat untuk terus menjadikan negara kekal kompetitif, sekali gus berupaya mengambil kedudukan proaktif dalam mengendalikan isu sekuriti siber global.

"NISP yang dijangka siap akhir tahun ini akan memperkukuhkan semua usaha sekuriti dalam keadaan terkawal selain membolehkan pelaksanaan Sistem Pengurusan Sekuriti Maklumat (ISMS) dan Skim Penilaian Kriteria Biasa (CCES) di negara ini," katanya.

Kemasukan Niser di bawah Mosti dilihat menjadi platform penting khususnya kepada kerajaan dalam mengurangkan serangan siber yang mana 100 juta gangguan dikesan oleh Kumpulan Tindakan Kecemasan Komputer Kerajaan, kumpulan khas yang ditubuhkan oleh Mampu dan ditugaskan mengatasi kejadian sekuriti ICT dalam sektor awam.