Husin ahli lembaga pengarah ISC
1st November 2006 (Harian Metro)

International Information Systems Security Certification Consortium, Inc. (ISC), organisasi tidak berasaskan keuntungan yang memberi latihan dan persijilan mengenai keselamatan maklumat kepada profesional di seluruh dunia, melantik Lt Kolonel (bersara) Husin Jazri (CISSP) dan Peter Berlich (CISSP-ISSMP) sebagai ahli lembaga pengarahnya yang baru.

Berpangkalan di Kuala Lumpur, Husin adalah Pengarah, Pusat Tindak Balas Kecemasan dan Keselamatan ICT Kebangsaan (NISER), iaitu badan yang bertanggungjawab dalam segmen keselamatan siber. Beliau juga merupakan Ahli Majlis Penasihat ISC2 Asia.

Sementara Berlich pula berpangkalan di Zurich, Switzerland, seorang pengurus keselamatan IT bagi sebuah syarikat sumber luaran terbesar IBM di Eropah, Timur Tengah dan Afrika (EMEA). Beliau juga berkhidmat sebagai pengerusi bersama Lembaga Penasihat ISC2 Eropah.

Pengerusi, Lembaga Pengarah ISC2, Pat Myers, CISSP -ISSMP, berkata tenaga kerja keselamatan maklumat di seluruh dunia kini berkembang pesat.

Ahli lembaga pengarah ISC2 akan bertindak menyediakan maklumat tempatan dan global serta perspektif berkaitan yang dijangka dapat membantu ISC2 mengenal pasti dan memenuhi keperluan profesional di seluruh dunia.

Husin terbabit dengan program kebangsaan itu untuk mempromosi dan memperkukuhkan inisiatif keselamatan siber negara.

Beliau berbesar hati apabila dilantik menjadi salah seorang ahli lembaga pengarah ISC2 dan berjanji akan berkerja keras untuk menjadi sebahagian daripada misi yang menyokong pertumbuhan profesional keselamatan maklumat bukan saja di Malaysia, tapi juga di seluruh Asia Pasifik dan seluruh dunia.