Geng ceroboh sistem internet bank tumpas
11th October 2006 (Berita Harian)
By Masrina Mohd Yunos

13 lelaki termasuk penuntut IT universiti tempatan ditahan

KUALA LUMPUR: Polis menumpaskan satu sindiket pemalsuan sistem perbankan internet apabila 13 lelaki, termasuk penuntut institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) yang pakar dalam bidang teknologi maklumat (IT) ditahan dalam serbuan berasingan di ibu kota dan Kelantan, baru-baru ini.

Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Asisten Komisioner Ismial Yatim, yakin penahanan rakyat tempatan itu dapat membantu polis menyelesaikan 26 kes kehilangan wang pelanggan melalui sistem perbankan internet membabitkan RM36,000.

"Sindiket yang dianggotai pakar IT dan pekerja bank berusia antara 18 dan 26 tahun itu beroperasi dari kafe internet dan rumah di sekitar Kuala Lumpur dan Kelantan," katanya pada sidang media di sini, semalam.

Ismail berkata, sindiket itu memindahkan wang daripada akaun bank selepas menghantar e-mel melalui laman web palsu yang direka khas seolah-olah dikirim bank yang menyediakan khidmat perbankan internet.

"Selepas menerima e-mel itu, mangsa diminta membuka laman web palsu itu dan menekan 'klik' terpapar di skrin," katanya.

"Dalam laman web itu, mangsa diminta mengemas kini 'nama pengguna' dan kata laluan (password). Mangsa yang menyangka e-mel itu dihantar bank kemudian mengikut arahan diberikan," katanya.

Beliau berkata, sindiket itu kemudian akan memindahkan wang daripada akaun mangsa tanpa pengetahuan atau digunakan untuk membuat pembayaran melalui internet.

"Mangsa hanya sedar mereka kena tipu selepas mendapati wang simpanan dalam akaun bank mereka susut secara tiba-tiba," katanya.

Katanya, kegiatan sindiket itu bermula bulan lalu dan mereka memperdayakan mangsa dengan meminta pelanggan bank memperbaharui serta mengemas kini maklumat akaun bank.