F-Secure buka makmal sekuriti di Malaysia
22nd September 2006 (Berita Harian)

F-SECURE Corporation (F-Secure), syarikat berkaitan keselamatan Internet dari Finland, memilih Malaysia sebagai hab Asianya dengan pembukaan makmal sekuritinya di KL Sentral.

Pengasas dan Ketua Eksekutifnya, Risto Siilasmaa, berkata pejabat itu menyokong matlamat strategi syarikat ke arah mengukuhkan kedudukannya di pasaran Asia.

Katanya, antara 2005 dan 2006, syarikat yang berpangkalan di Helsinki itu sudah membuka pejabatnya di Singapura, New Delhi dan Mumbai, India dan Jepun.

"Pejabat di Malaysia itu akan berfungsi sebagai pusat penyelidikan dan tindak balas keselamatan," katanya pada majlis perasmian pejabat F-Secure yang disempurnakan Pengerusi Multimedia Development Corporation Sdn Bhd (MDeC), Tan Sri Abdul Halim Ali.

Siilasmaa berkata, F-Secure Security Lab yang ditubuhkan di Kuala Lumpur itu akan bertanggungjawab menyediakan perkhidmatan tindak balas keselamatan bagi pengesanan, penghapusan dan penyediaan maklumat berkaitan "malware", "spyware", "rootkit", "phishing" dan serangan siber berkaitan yang disasarkan.

Katanya, langkah itu membantu syarikat menyediakan perlindungan sepanjang masa daripada ancaman baru teknologi maklumat (IT) kepada pelanggannya.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan pelaburan syarikat itu di Malaysia.

"Malaysia dipilih sebagai hab utama bagi operasi Asia kerana ia memiliki sumber manusia berkelayakan, inisiatif negara bagi menggalakkan syarikat teknologi tinggi menubuhkan perniagaan di sini dan zon masa optimum iaitu enam jam di hadapan Helsinki," katanya.