Rakyat patut berhemah guna internet
2nd August 2006 (Berita Harian)

KUALA LUMPUR: Usaha mengawal media dan laman web mungkin tidak berkesan jika kerajaan tidak bertindak drastik mengekang kegiatan menerusi internet selain mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang menyalahgunakannya.

Pengurus Besar Infodynamic Computer Syetems (Infodynamic), Vallabhai B Patel, berkata internet adalah media bebas yang boleh dikendalikan dari mana-mana atas dasar kebebasan berkomunikasi dan usaha mengawalnya bukan saja tidak masuk akal, malah mustahil dilakukan.

"Memang ada kerajaan seperti Singapura dan China yang cuba menyenarai hitam laman web atau pautan internet tertentu tetapi ini tidak menjadi masalah bagi pengguna yang arif mengenai penggunaan pintu belakang atau laman proksi melayari laman web pilihannya.

"Pada pendapat saya, lebih baik jika diwujudkan satu program memupuk kesedaran masyarakat umum mengenai penggunaan internet secara berhemah," katanya ketika dihubungi semalam.

Kelmarin, Menteri Penerangan Datuk Zainuddin Maidin, berkata media internet dan laman web perlu dikawal oleh kerajaan bagi mengelak penyebaran khabar angin dan berita yang boleh menjejaskan perpaduan kaum di negara ini.

Beliau bersetuju pendapat Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Fu Ah Kiow pada 27 Julai lalu supaya amaran dan tindakan dikenakan terhadap mereka yang menyebarkan khabar angin sehingga menjejaskan ketenteraman awam.

Zainuddin berkata, kawalan itu bukan bertujuan menyekat kebebasan akhbar tetapi untuk menghalang penyebaran berita yang berasaskan khabar angin dan juga artikel serta rencana bersifat perkauman.

Vallabhai berkata, Infodynamic selaku penyedia perisian dan reka bentuk laman web, sudah mendaftarkan kira-kira 12,000 laman web dan forum 'blog' di negara ini dan berpendapat jumlah itu akan berlipat ganda pada masa depan.

Setiausaha Persatuan Pereka Laman Web dan Penyedia Perkhidmatan Internet (AWDSP), Peter Loke, berkata blog kini menjadi pilihan utama individu yang mahukan forum peribadi bagi meluahkan perasaan atau bertukar pendapat.

Bagaimanapun, beliau bersetuju dengan pendapat Zainuddin bahawa ada antara kandungan internet atau blog yang keterlaluan tetapi teknologi membolehkan pihak berkuasa mengenal pasti punca maklumat itu dan mendakwa individu bertanggungjawab.