'Blog internet perlu dikawal'
1st August 2006 (Berita Harian)
By Tuan Nazuri Tuan Ismail

KANGAR: Kewujudan media internet termasuk blog yang semakin berleluasa dan ditulis secara liar boleh menjejaskan kestabilan dan perpaduan rakyat pelbagai kaum di negara ini.

Sehubungan itu, Menteri Penerangan, Datuk Zainudin Maidin, berkata kawalan perlu dikenakan terhadap penyiaran laporan dalam media internet itu termasuk di penulis blog supaya mereka lebih bertanggungjawab walaupun diberi kebebasan.

"Kita bukan mahu menyekat kebebasan mereka menulis dan menyatakan pandangan. Tetapi apa yang berlaku adalah kadang-kala laporan yang ditulis berasaskan khabar angin dan membuat tuduhan liar," katanya selepas menghadiri majlis Seiring Melangkah Bersama sempena sambutan 60 tahun agensi agensi di bawah Kementerian Penerangan Malaysia di Dewan Warisan, malam kelmarin.

Hadir sama pada majlis itu Menteri Besar, Datuk Seri Shahidan Kassim.

Zainudin berkata, sesetengah media internet dan blog menyiarkan laporan sensitif sehingga boleh menjejaskan perpaduan rakyat di negara ini terutamanya yang membabitkan isu agama Islam dan juga hak istimewa orang Melayu.

Katanya, kerajaan tidak mahu meniru tindakan Singapura mengenakan hukuman penjara terhadap dua remaja yang menulis mengenai isu perkauman dalam blog mereka.

Zainudin berkata, beliau menyokong pandangan Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Fu Ah Kiow berhubung kawalan yang perlu dikenakan terhadap media internet kerana ia dapat menjamin keselamatan negara.

Katanya, kerajaan juga tidak menghalang penulis blog atau media internet daripada menyatakan pandangan mereka sekiranya ditulis dengan baik dan beretika.

"Kita meminta akhbar perdana di negara ini tidak terpengaruh dengan rentak media internet.

"Jika kerajaan kawal mungkin ini memberi kredibiliti kepada media internet dan kalau ada kawalan pun, ia tidak akan menjadikan media internet tidak popular," katanya.