Niser pusat keselamatan siber negara
28th July 2006 (Berita Harian)

PUSAT Maklum Balas Kecemasan dan Keselamatan ICT Kebangsaan (Niser) dijadikan Pusat Keselamatan Siber Malaysia, membolehkannya memegang peranan yang lebih besar dalam keselamatan ruang siber.

Melalui perubahan berkenaan yang berkuat kuasa serta merta, Niser akan memulakan proses menjadi Pusat Keselamatan Siber Malaysia, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Jamaluddin Mohd Jarjis.

"Berilah kami masa sebulan dua untuk menyediakan struktur, kapasiti dan infrastruktur," kata beliau pada sidang akhbar selepas pelancaran Pameran dan Persidangan Secure Malaysia 2006, di Kuala Lumpur, kelmarin.

Beliau berkata, sebelum Niser dijadikan Pusat Keselamatan Siber Malaysia ia tidak dapat bertindak sepenuhnya dari segi infrastruktur dan kapasiti.

"Niser akan memperuntukkan dana bagi infrastruktur dan kakitangan tambahan bagi memastikan ia berkembang setara dengan pusat keselamatan siber di negara lain," katanya.

Jamaluddin berkata, pusat berkenaan akan setara dengan pusat yang sama di negara seperti Amerika Syarikat, Jepun, Korea Selatan, China serta India, dan juga akan dapat menawarkan latihan kepada industri.

Beliau berkata beberapa lokasi telah dikenal pasti sebagai tapak kepada pusat keselamatan siber nasional itu, termasuk Cyberjaya yang mana ia boleh ditempatkan bersebelahan dengan cadangan Perkongsian Pelbagai Hala Antarabangsa Terhadap keganasan Siber (IMPACT).

Kerajaan akan meneruskan penubuhan IMPACT yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada Kongres Dunia bagi Teknologi Maklumat di Austin, Texas, Mei lalu.

"Sudah tentu, pusat keselamatan siber nasional akan dilaksanakan dari aspek kepentingan negara memandangkan keselamatan nasional yang perlu dijaga, tetapi kita bersedia untuk berkongsi dengan pusat lain apa saja maklumat boleh dikongsi," kata Jamaluddin.

Jamaluddin berkata, beliau akan bekerja sama dengan Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi Datuk Seri Dr Lim Keng Yaik untuk mempromosikan IMPACT di peringkat serantau. .

Beliau berkata, pada 1996, jumlah kerugian ekonomi dunia yang dianggarkan bagi semua bentuk serangan digital adalah pada AS$1 bilion tetapi angka berkenaan meningkat kepada AS$300 bilion pada 2004.

"Perbelanjaan teknologi maklumat dan komunikasi di Malaysia meningkat kepada AS$3.8 bilion pada 2005 daripada US$1 bilion pada 1996, manakala pelanggan Internet meningkat kepada 3.57 juta daripada 64,000 semasa tempoh yang sama," katanya.