Mimos hasil aplikasi digital kesan fail hilang
22nd May 2006 (Berita Harian)

MIMOS Bhd (Mimos), menghasilkan aplikasi forensik digital yang dikenali sebagai Sistem Penyiasatan Forensik dan Pemulihan (First).

First yang menggunakan perisian sumber terbuka berfungsi mengesan fail atau data yang dipadam atau terpadam, gambar tersimpan di dalam komputer dan pemulihan data penting yang hilang akibat serangan virus.

Penyelidik Jabatan Forensik Elektronik Mimos Bhd (Mimos), Razana Md Salleh, berkata aplikasi itu sesuai bagi syarikat atau organisasi yang kehilangan data penting dan sensitif akibat terpadam secara tidak sengaja atau hilang kerana serangan virus.

"Data itu mungkin penting kepada syarikat bagi mengesan pekerja yang menyimpan gambar lucah di dalam komputer mereka tetapi enggan mengakui gambar yang disimpan itu adalah milik mereka," katanya kepada media ketika ditemui pada pameran ITEX' 06 di Kuala Lumpur.

Razana berkata, First dibangunkan dengan kepakaran rakyat tempatan hasil usaha penyelidikan dan pembangunan (P&P) selama setahun.

Aplikasi First adalah proses forensik yang menganalisis bukti berasaskan salinan pendua bukti asal yang diterima pakai sebagai standard forensik di seluruh dunia.

Ia akan menyalin keseluruhan data bagi memastikan bukti yang disalin itu menyamai bukti asli.

Semua data yang ada di dalam komputer sama ada komputer peribadi atau laptop akan disalin, merangkumi maklumat cakera, ruang cakera yang belum terbahagi dan fail, termasuk fail yang sudah dipadamkan.

Proses berkenaan dikenali sebagai pengimejan cakera.

Selepas proses terbabit selesai, aplikasi First akan mengira secara automatik nilai 'hash' salinan data dan membandingkannya dengan data asal.

Ia bertujuan membandingkan data yang disalin semula dengan data asal.

Razana berkata, aplikasi berkenaan kini sudah boleh dimuat turun secara percuma daripada laman web mirror.asiaosc.org. untuk diuji pakai oleh mereka yang berminat.

"Mimos akan mengendalikan latihan, penerbitan buku dan manual untuk mereka yang terbabit dalam bidang perundangan atau syarikat perniagaan yang berminat," katanya.