Impact akan operasi sebelum akhir tahun
8th May 2006 (Berita Harian)
BY Shamshul Azree Samshir

Masyarakat global anggap penubuhan tepat pada masa: PM

SEPANG: Masyarakat antarabangsa termasuk peneraju industri teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dunia menyokong inisiatif Malaysia menubuhkan Institut Kerjasama Pelbagai Hala Antarabangsa Memerangi Keganasan Siber (Impact).

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, berkata komuniti antarabangsa menyedari kepentingan Impact serta perlunya institut itu ditubuhkan bagi memerangi keganasan siber yang mengancam seluruh pelusuk dunia.

"Sambutan baik... mereka menganggap ini inisiatif yang perlu disokong kerana Malaysia sendiri dianggap sebagai negara yang sesuai dan berada pada kedudukan baik bagi memulakan inisiatif ini.

"Keperluan inisiatif ini juga sangat dirasai (dunia) waktu ini," katanya sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, dari lawatan kerja 10 hari ke Carribean dan Amerika Syarikat, petang semalam.

Kelmarin, Malaysia mengumumkan penubuhan Impact, organisasi yang pertama seumpamanya di dunia, bagi memerangi keganasan siber yang menjadi ancaman besar kepada kesejahteraan banyak negara.

Penubuhan Impact yang akan beroperasi di Koridor Raya Multimedia (MSC), diumumkan Perdana Menteri sempena Kongres Sedunia Mengenai Teknologi Maklumat 2006 (WCIT) di Austin, Texas, Amerika Syarikat.

Abdullah dilaporkan berkata, penubuhan Impact membabitkan kerjasama kerajaan dan sektor swasta dari seluruh dunia.

Impact bukan hanya kebimbangan Malaysia, tetapi dizahirkan dari awal atas kerjasama antara kerajaan seluruh dunia dengan sektor swasta yang berkepakaran memerangi keganasan siber.

Impact mendapat sokongan firma seperti Symantec Corporation dari Amerika Syarikat, Trend Micro (Jepun) dan Kapersky Lab (Russia) untuk menjadi rakan utama dan anggota lembaga penasihat antarabangsa yang diwujudkan tidak lama lagi.

Perdana Menteri berkata, Impact dijangka memulakan kegiatannya memerangi keganasan siber sebelum akhir tahun ini.

"Ia (Impact) tidak boleh dilaksanakan sekali gus, selepas itu selesai. Inisiatif atau projek seperti ini mesti menjadi sesuatu yang sentiasa ditingkatkan keupayaannya kerana ancaman siber berterusan," katanya.

Abdullah berkata, teknologi yang digunakan oleh mereka yang melakukan ancaman siber perlu difahami setiap masa kerana ia sentiasa diperbaharui.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata, beliau berpuas hati dengan hasil lawatan kerjanya di Amerika Syarikat terutama WCIT 2006 yang juga forum ICT terbesar dunia.

"Kehadiran ramai peserta dari Malaysia membawa kesan baik kepada peserta forum yang datang dari negara lain.

"Umumnya laporan yang diperolehi dari peserta dan pegawai menunjukkan pendirian dan komitmen Malaysia mengenai pembangunan ICT dianggap suatu pendekatan yang amat baik," katanya.

Abdullah berkata, pendekatan kerajaan meningkatkan modal insan juga dipandang baik masyarakat antarabangsa kerana industri ICT memerlukan pekerja yang berkemahiran dan berpengetahuan tinggi.