Asia penyebar spam dunia atasi Amerika
1st May 2006 (Berita Harian)

SPAM kini banyak dikesan daripada Asia berbanding rantau lain dengan mencatat 42.8 peratus berbanding Amerika Utara yang mencatat 25.6 peratus.

Walaupun dua tahun lalu Amerika Utara bertanggungjawab terhadap lebih separuh daripada kewujudan spam dunia, kini sistem pemantauan spam global Sophos mendapati peratusan Asia lebih tinggi sekiranya digabungkan Amerika Utara dan Selatan.

Eropah juga didapati mampu menjadi penyalur utama spam yang mana rantau itu kini hampir menyamai Amerika Utara iaitu 25 peratus dan tidak mustahil rantau berkenaan mampu mengatasi Amerika Utara menjelang bulan depan.

Bagaimanapun, Amerika Syarikat menjadi negara utama penyalur spam global dengan 23.1 peratus, diikuti China dan Hong Kong yang masing-masing mencatat 21.9 peratus dan Korea Selatan 9.8 peratus.

China yang didapati penggunanya masih banyak menggunakan komputer dengan versi lama Microsoft Windows menjadi penyumbang kepada peningkatan spam memandangkan versi lama sistem operasi itu membuka jalan mudah untuk spammers.

Manakala Korea Selatan yang mempunyai prasarana teknologi termaju terutama struktur Internet yang hebat menjadi lombong emas kepada spammers.

Sophos dan McAfee bersetuju bahawa spam mampu dihapuskan sekiranya penyedia perkhidmatan Internet (ISP), sektor perniagaan dan pengguna di rumah menggunakan pe­risian antispam.

ISP secara tradisinya dikatakan keberatan untuk menyekat sebarang jenis kandungan walaupun kebanyakan pemain utama kini mempunyai beberapa kaedah perlindungan antivirus untuk pelanggan mereka.