Briged Islam serang laman web
10th February 2006 (Berita Harian)
BY Hizral Tazzif Hisham

BERIBU laman web di Denmark dan Eropah diceroboh dan dirosakkan sebagai tindakan balas akibat penerbitan kartun yang menghina Nabi Muhammad SAW.

Zone-H.org, organisasi yang mengesan gangguan sistem pelayan global, mendapati lebih 600 serangan dilakukan terhadap sistem pelayan web di Denmark selain di Israel dan Eropah yang dicerobohi dengan mesej pro-Islam.

Vendor sekuriti Internet, F-Secure turut menerbitkan paparan skrin laman web yang dirosakkan dengan menunjukkan nada anti -Denmark selain menyokong penunjuk perasaan di seluruh dunia.

Satu kumpulan yang memanggil diri mereka briged Islam Internet meletakkan satu imej mengenai pengeboman London pada satu forum popular pada laman web Denmark dengan mengancam serangan seperti itu tidak lama lagi.

Satu lagi laman membawa teks yang berbunyi, "Jangan sesekali mempermainkan Rasul kami".

Kebanyakan laman web dirosakkan itu termasuk memasukkan imej perkataan Arab dengan teks bahasa Inggeris selain mengumumkan nama syarikat penerbitan yang menerbitkan kartun itu.

Penunjuk perasaan kini memanfaatkan online untuk merosakkan laman web tertentu.

Internet kini digunakan sebagai satu platfrom untuk menyebarkan protes siber berkaitan dengan apa yang berlaku di dunia.