Bank Negara ambil tindakan
Oleh Hanneeyzah Bariah Baharin dan Irwan Shafrizan Ismail

Pengendali pelaburan internet akan didakwa

KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) akan mengheret pengendali laman web yang menjalankan pelaburan internet dan memperdayakan orang ramai dengan pulangan lumayan ke mahkamah.

Pengarah Jabatan Perhubungan Korporat BNM, Abu Hassan Yahaya, berkata tindakan tegas akan diambil dan pihak berkenaan akan didakwa mengikut Akta Perbankan dan Kewangan 1989 (Bafia).

Sebelum ini kita pernah mengambil tindakan sama terhadap beberapa pengendali perniagaan skim cepat kaya dan pengambilan deposit secara tidak sah, katanya ketika dihubungi Berita Harian, di sini, semalam.

Beliau mengulas laporan akhbar ini semalam mengenai Pusat Keselamatan Siber Malaysia sudah menyerahkan nama beberapa laman web yang disyaki menjalankan pelaburan internet kepada BNM untuk tindakan lanjut.

Mengikut akta berkenaan, sesiapa yang mengambil deposit tanpa lesen, termasuk skim cepat kaya boleh dikenakan hukuman denda hingga RM10 juta atau penjara 10 tahun atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 25(1) akta itu.

Ketuanya, Leftenan Kol (B) Husin Jazri dilaporkan berkata, nama itu diserahkan selepas agensinya memantau beberapa laman web yang menjalankan pelaburan internet dan disyaki mengaut keuntungan dengan mengelirukan pelabur.

Katanya, Cyber Security yang sebelum ini dikenali sebagai Pusat Tindak Balas Kecemasan Kebangsaan (Niser), tidak boleh mengambil tindakan terhadap laman web yang menawarkan pelaburan internet kerana tiada kuasa berbuat demikian.

Abu Hassan berkata, BNM, Suruhanjaya Sekuriti (SC) dan polis sentiasa memantau kegiatan skim cepat kaya yang menyalahi undang-undang.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan taktik licik golongan yang bijak menawarkan pelbagai habuan dan ganjaran berkali ganda.

Modus operandi mereka biasanya menawarkan pulangan lumayan jika pelanggan terbabit berjaya menarik lebih ramai ahli menyertai perniagaan skim berkenaan. Semakin besar rantaian ahli yang dibina, semakin besar habuan diterima, katanya.

Sementara itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menegaskan sebarang perniagaan yang menyalahi undang-undang, termasuk di internet adalah satu kesalahan.

Ketua Komunikasi Korporat SKMM, Adelina Iskandar, berkata bagaimanapun pihaknya tidak boleh mengambil tindakan kerana kandungan internet bukan dalam bidang kuasanya.

Sebarang perniagaan berunsurkan pelaburan perlu mendapat kelulusan Bank Negara dan Kementerian Kewangan, katanya.