SC sekat laman web pelaburan Internet tidak sah mulai 11 Jun
1 Jun 2007 (Utusan Malaysia)

KUALA LUMPUR 31 Mei Selepas memberi amaran berulang kali, Suruhanjaya Sekuriti (SC) hari ini bertegas dengan memberi kata dua kepada semua pelabur skim yang tidak sah melalui Internet supaya mengeluarkan wang pelaburan sebelum 11 Jun ini.

Jika tidak, bermula dari tarikh tersebut, akses ke laman-laman web tempatan dan asing yang mempromosikan skim pelaburan secara dalam talian yang tidak pasti kesahihannya itu akan disekat.

Ini bermaksud para pelabur yang masih tidak mengeluarkan wang mereka bukan saja tidak akan dapat lagi mengakses laman-laman web itu malah tidak lagi dapat memasuki akaun mereka bagi melakukan sebarang urus niaga.

Setakat ini, laman web SC masih memaparkan senarai amaran mengandungi 45 laman web dan 15 syarikat yang dikesan menjalankan aktiviti pasaran modal dan sekuriti tanpa kelulusan suruhanjaya itu.

Dalam kenyataannya hari ini, SC memberitahu, tindakan tegas menyekat laman-laman web itu akan dilakukan dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Pusat Keselamatan Siber Malaysia (CyberSecurities).

Menurutnya, ketiga-tiga pihak bekerjasama menjejak, mengenal pasti dan menyekat akses ke laman-laman web berkenaan.

Pada 12 April lalu, Majlis Fatwa Kebangsaan pada persidangan di Kuala Terengganu membuat ketetapan bahawa semua pelaburan di Internet, termasuk SwissCash yang menjanjikan faedah atau pulangan tetap sebagai haram kerana berunsur riba.

Keputusan majlis itu memberi kesan kepada aktiviti pelaburan melibatkan tidak kurang 500,000 orang Islam termasuk golongan kenamaan dan profesional berpangkat Tan Sri dan Datuk.

Nilai pelaburan keseluruhan dalam skim melalui Internet itu dianggar mencecah RM1 bilion.

Sehubungan itu, bagi memastikan para pelabur dilindungi undang-undang sekuriti, orang ramai yang ingin terus membuat pelaburan dinasihatkan supaya hanya melabur dengan pihak yang mempunyai lesen dikeluarkan SC.

Senarai syarikat dan individu yang dilesenkan oleh SC dan senarai amaran boleh diketahui menerusi laman web suruhanjaya itu
www.sc.com.my.