SC nafi keluar perakuan tak siasat pelaburan internet
5 Jun 2007 (Berita Harian)

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Sekuriti (SC) menafikan ada mengeluarkan perakuan kepada beberapa syarikat pelaburan internet bahawa mereka tidak terbabit dengan siasatan seperti yang dinyatakan dalam laman web mereka.

Jurucakap SC berkata, kenyataan palsu sedemikian adalah percubaan pengendali laman web yang terdesak bagi meyakinkan pelabur bahawa mereka tidak terbabit dengan siasatan yang dilaksanakan agensi itu bagi membanteras kegiatan pengambilan deposit haram.

Dakwaan beberapa laman web yang mengatakan mereka mendapat maklumat daripada SC bahawa mereka tidak terbabit dalam siasatan dan kononnya maklumat itu diterima daripada SC adalah tidak benar sama sekali, katanya ketika dihubungi, semalam.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sekiranya sesebuah syarikat atau individu sememangnya dilesenkan oleh SC untuk terbabit dalam aktiviti pelaburan, nama syarikat berkenaan akan disenaraikan di dalam nama pengantara berlesen di laman web SC.

Sehingga kini, SC menyiasat 30 laman web yang mengendalikan pelaburan dan didapati mengambil deposit secara haram dan bakal berhadapan dengan tindakan dihadapkan mahkamah dan boleh dikenakan denda maksimum RM10 juta atau penjara 10 tahun.

Baru-baru ini SC memberi masa kepada pelabur untuk mengeluarkan pelaburan mereka daripada skim pelaburan haram berkenaan sebelum 11 Jun ini kerana selepas tarikh itu akses laman web berkenaan akan disekat.