Bank Negara, SC serbu pengendali pelaburan internet
13 Jun 2007 (Berita Harian)
Oleh Azli Ayob


KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti (SC), kelmarin menyerbu syarikat pengendali pelaburan haram menerusi internet, AB Fund kerana disyaki mengambil deposit secara haram bagi pelaburan menerusi laman webnya, www.abfund.us dan www.abfundtrader.biz.

Bank Negara dan SC dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan semalam, berkata berikutan serbuan dengan kerjasama polis itu, pihaknya menyiasat AB Fund kerana disyaki terbabit dalam jenayah mengambil deposit secara haram dan pembersihan wang haram.

Serentak itu, SC dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan CyberSecurity Malaysia, semalam mengumumkan sudah memulakan proses menyekat akses ke beberapa laman web yang menawarkan skim pelaburan haram.

Setakat ini, enam laman web yang menawarkan skim itu sudah disekat iaitu www.cfdventure.com, www.swedenfund.com, www.uebond.com, www.esuissefund.com atau www.efmf.com.pa, dan www.ecashfinance.com sudah disekat selain www.abfund.us serta www.abfundtrader.biz.

Sumber memberitahu Berita Harian, serbuan terhadap AB Fund dilaksanakan oleh pegawai Bank Negara dan SC selama beberapa jam kelmarin, kerana ia membabitkan beberapa premis di lokasi berasingan sekitar Lembah Klang.

Dalam serbuan itu, pegawai kami turut merampas sejumlah wang tunai, beberapa laptop dan pelbagai dokumen dipercayai mengandungi maklumat berhubung mangsa penipuan skim itu serta modus operandinya.

Bagaimanapun, tiada sebarang tangkapan dibuat sebaliknya pegawai kami hanya merekodkan keterangan daripada beberapa individu yang dipercayai kakitangan AB Fund serta beberapa lagi yang disyaki menjadi pengendalinya.

Semua maklumat terbabit diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut, kata sumber itu ketika dihubungi di sini, petang semalam.

Jurucakap Bank Negara dan SC, ketika dihubungi bagaimanapun, enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu kerana ia kini dalam siasatan. Jurucakap polis juga enggan mengulas tetapi mengesahkan terbabit dalam serbuan berkenaan.

Sementara itu, kenyataan Bank Negara menyebut, siasatan terhadap AB Fund dibuat mengikut Subseksyen 25 (1) Akta Perbankan dan Institusi Kewangan (Bafia) 1989 dan Subseksyen 4 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLA).

AB Fund tidak diberi lesen menyediakan perkhidmatan nasihat pelaburan berkaitan sekuriti atau niaga hadapan. Ia juga tidak mempunyai lesen pengurusan dana di Malaysia seperti diperuntukkan Seksyen 14 dan 15A Akta Industri Sekuriti 1983 (SIA) dan Seksyen 16 A Akta Industri Niaga Hadapan 1993 (FIA).

Jika didapati sabit kesalahan, pengendali kegiatan mengambil deposit haram atau menjalankan kegiatan yang berkaitan dengannya boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun, atau denda sehingga RM10 juta, atau kedua-duanya sekali.

Pesalah berulang boleh dikenakan denda harian sebanyak RM100,000 sehari bagi setiap hari kesalahan berulang itu dilakukan manakala individu yang melakukan kesalahan mengubah wang haram boleh dikenakan denda sehingga RM5 juta atau penjara lima tahun, atau kedua-duanya sekali.

Individu yang menyediakan perkhidmatan nasihat pelaburan berkaitan kegiatan sekuriti dan niaga hadapan, atau menjalankan kegiatan pengurusan pelaburan tanpa lesen pula boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta atau dipenjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

SC berkata, pihaknya akan terus bekerjasama dengan SKMM dan CyberSecurity Malaysia untuk menjejak, mengenal pasti serta menyekat akses kepada laman web lain yang dikenal pasti mengendalikan skim pelaburan haram.

Katanya, ia juga akan mengambil semua langkah yang perlu untuk memerangi aktiviti pelaburan haram terbabit sehingga ke akar-umbi termasuk menerusi tindakan penguatkuasaan terhadap pengendali atau ejen laman web berkenaan.

Pada 31 Mei lalu, SC mengumumkan akan menyekat akses kepada beberapa laman web yang mengendalikan skim pelaburan haram dan pelabur yang mengambil bahagian dalam skim terbabit diingatkan supaya mengeluarkan pelaburan dan menutup akaun mereka serta-merta.