Skim Internet diserbu - Tiga agensi bergabung banteras laman web pelaburan haram
13 Jun 2007 (Utusan Malaysia)
Oleh Ruhaidini Abd. Kadir dan Tan Ming Wai


KUALA LUMPUR 12 Jun - Dalam satu gerakan besar-besaran untuk menghapuskan skim cepat kaya melalui laman web Internet, Bank Negara Malaysia (BNM) dan polis mula menyerbu pejabat pengendali skim-skim itu yang disyaki menjalankan pengambilan deposit tanpa lesen dan membuat pelaburan haram.

Dengan kerjasama Suruhanjaya Sekuriti (SC), BNM dan polis semalam menggeledah pejabat AB Fund yang beroperasi di ibu negara, iaitu salah sebuah skim cepat kaya melalui Internet yang popular di kalangan pelakon dan penyanyi terkenal di negara ini.

Selain artis, skim yang beroperasi dengan alamat web www.abfund.us atau www.abfundtrader.biz itu juga disertai oleh sesetengah tokoh korporat dan ahli perniagaan yang majoritinya orang Melayu.

Laman web itu ialah salah satu daripada 45 skim cepat kaya melalui Internet kendalian orang tempatan dan luar negara yang beroperasi menipu pelabur.

Kini sebahagian besar daripada laman web itu telah menutup sendiri operasi masing-masing manakala akses sebahagian lagi laman web dihalang oleh pihak berkuasa.

Laporan sebelum ini menyebut seramai 500,000 orang rakyat Malaysia terlibat dalam pelaburan itu membabitkan pelaburan terkumpul berbilion ringgit.

Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan oleh BNM di sini hari ini, laman web skim AB Fund yang diserbu itu tidak dilesenkan oleh Suruhanjaya Sekuriti. Ia kini disiasat oleh BNM mengikut Sub Seksyen 23 (1) Akta Bank dan Institusi-institusi Kewangan 1989 dan Sub Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.

Kenyataan itu turut menegaskan bahawa BNM dan SC akan terus mengorak langkah membanteras kegiatan haram tersebut secara habis-habisan dan membawa dalang yang melakukan penipuan itu ke muka keadilan.

Sementara itu, SC dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta CyberSecurity Malaysia hari ini mula menyekat pengaksesan pengguna Internet kepada enam laman web termasuk www.abfund.us yang menawarkan skim pelaburan haram menggunakan konsep skim cepat kaya.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Jamaludin Jarjis memberitahu Utusan Malaysia, langkah untuk menyekat pengaksesan ke laman web pelaburan secara haram itu akan dilaksana secara berperingkat-peringkat dan ia merupakan satu proses berterusan.

MOSTI akan membantu usaha-usaha kerajaan membanteras gejala ini, malah satu mesyuarat khas CyberSecurity Malaysia berhubung isu ini akan diadakan esok, katanya ketika dihubungi.

Menurut Jamaludin, mesyuarat itu juga akan membincangkan langkah-langkah khusus untuk menyekat semua pengaksesan pelaburan Internet dalam masa terdekat, selain penubuhan pasukan khas.

Skim-skim pelaburan Internet yang difatwakan sebagai haram oleh Majlis Fatwa Kebangsaan pada 12 April lalu sebenarnya bukan berpangkalan di luar negara sebagaimana yang digembar-gemburkan dalam laman web masing-masing, sebaliknya ia diuruskan oleh rakyat Malaysia sendiri.

Siasatan Utusan Malaysia yang dibantu pakar-pakar teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) mendapati skim tersebut yang diuar-uarkan mendapat pengiktirafan di peringkat global sebenarnya beroperasi dari beberapa lokasi di negara ini.

Maklumat dalam laman-laman web tersebut yang menyatakan kononnya pelaburan skim itu berasaskan perdagangan mata wang, pasaran hadapan komoditi, pelaburan luar pesisiran dan saham-saham lain sebenarnya satu rekaan semata-mata.

Daripada siasatan menerusi laman web rujukan www.domanintools.com, kebanyakan laman web pelaburan skim cepat kaya itu didapati didaftarkan dengan pengelola web di Amerika Syarikat (AS) oleh para pemilik yang beralamat di Malaysia seperti di Kuala Lumpur, Petaling Jaya dan Seri Kembangan.

Bagaimanapun, terdapat beberapa laman web pelaburan yang popular di kalangan rakyat Malaysia didapati didaftarkan di bawah nama pemilik proksi beralamat di AS.

Dalam kes skim cepat kaya AB Fund, laman webnya didaftarkan di Texas, AS tetapi lebih 325,000 pengunjungnya dalam tempoh tujuh hari lalu merupakan pengguna Internet dari Malaysia.