SC sekat akses enam laman web
13 Jun 2007 (Utusan Malaysia)
Oleh UMAVATHI RAMAYAH dan TAN MING WAI


KUALA LUMPUR 12 Jun - Suruhanjaya Sekuriti (SC) hari ini mengambil langkah drastik menyekat akses kepada enam laman web yang dipercayai menawarkan skim pelaburan secara haram kepada orang ramai.

Enam laman web yang telah dikenal pasti itu ialah www.abbfund.com atau abfund.us, www.cfventure.com, www. swedenfund.com, www.uebond.com, www. esuissefund.com atau www.efmf. com.pa dan www.ecashfinance.com.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan SC hari ini, langkah tersebut akan dilaksanakan secara berperingkat dan berterusan.

Kami yakin lebih banyak laman web yang beroperasi secara haram akan disekat dalam tempoh terdekat, katanya.

SC menerima hampir 700 pertanyaan berhubung skim penipuan terbabit dan orang ramai mengadu kepada suruhanjaya itu mengenai kerugian pelaburan dalam jumlah yang besar.

Dalam perkembangan yang sama, sekurang-kurangnya enam daripada 45 laman web skim pelaburan tempatan dan asing yang dikesan menjalankan aktiviti pasaran modal dan sekuriti tanpa kelulusan SC masih beroperasi seperti biasa meskipun arahan menghalang akses kepada laman-laman web itu berkuat kuasa semalam.

Utusan Malaysia mendapati laman-laman web itu masih aktif kecuali www. swedenfund.com.

Antara laman web yang dikesan masih beroperasi ialah www.prowealthsolutions.com, www.myshare 2u.com, www. mydinar.net, www. eduit.com, www.usfunds.com, www. sunshine-empire.com dan www. simesecurities.net.

Menurut kenyataan SC, akses kepada laman-laman web itu hanya disekat dari Malaysia tetapi ia masih dapat diakses dari luar negara.

Bagaimanapun, adalah tidak bijak untuk orang ramai terus melabur dalam skim pelaburan tidak sah ini apabila pelabur telah pun diberi amaran oleh pihak berkuasa bahawa pihak (pengendali laman web) itu tidak dilesenkan bagi aktiviti pelaburan sedemikian, tegas kenyataan tersebut.

Sementara itu, seorang mangsa skim cepat kaya Internet yang hanya mahu dikenali sebagai Mohamad memberitahu Utusan Malaysia, dia kesal kerana terpengaruh dengan ajakan abangnya melabur dalam salah satu skim laman web yang berada dalam senarai amaran SC.

Menurutnya, dengan pelaburan AS$1,000 (kira-kira RM3,400) untuk membuka satu akaun, akaun tersebut dikatakan mampu menjana pulangan AS$2,000 dalam tempoh 100 hari.

Dalam dua bulan pertama, pulangan seperti yang dijanjikan iaitu AS$20 (RM68) akan dijana sehari. Kerana terpengaruh, saya bertindak melabur lagi dan membuka sehingga enam akaun berjumlah AS$6,000 (RM20,400).

Bagaimanapun, menjelang Mac dan April, keadaan tidak seperti biasa lagi kerana wang pulangan tidak dimasukkan ke dalam akaun seperti kebiasaan walaupun ia tertera dalam rekod transaksi, kata Mohamad.

Lelaki berusia 30 tahun itu yang mula melabur pada Disember 2006 turut mendedahkan bahawa kebanyakan laman web sedemikian didalangi oleh orang tempatan yang menggunakan hos web luar negara.

Saya anggarkan kerugian saya sekitar RM15,000. Saya tidak akan melabur lagi skim seperti itu yang kononnya memberi pulangan lumayan tetapi sebenarnya satu penipuan, tambahnya.