Pemilik web pelaburan internet guna perantara
14 Jun 2007 (Berita Harian)

KUALA LUMPUR: Tindakan pihak berkuasa menyekat pengguna ke laman web yang menawarkan skim pelaburan haram, tidak dijamin 100 peratus berkesan berikutan wujud beberapa pintu belakang yang boleh digunakan pemilik tapak terbabit untuk terus beroperasi.

Naib Presiden Eksekutif Dapat Vista (M) Sdn Bhd, Azli Paat, berkata pihak berkuasa hanya menyekat akses alamat laman web, tetapi pengendali laman web mempunyai pelbagai kaedah untuk terus beroperasi.

Katanya, pengendali laman web yang disekat boleh menukar alamat laman web serta memaklumkan kepada pelanggan mereka menerusi SMS atau e-mel mengenai alamat baru mereka.

Mereka juga boleh menggunakan laman web perantara atau proksi yang hosnya diletakkan di luar negara. Laman web perantara yang juga dikenali mirror web site akan memintas peranan laman web tempatan, katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau diminta mengulas keberkesanan tindakan Suruhanjaya Sekuriti (SC) menyekat akses laman web yang menawarkan skim pelaburan menerusi internet secara haram.

Mulai 11 Jun, SC menyekat enam laman web yang mengendalikan skim pelaburan menerusi internet secara haram. SC mengambil tindakan itu bagi menghalang lebih ramai pelabur menanggung kerugian menerusi skim pelaburan yang tidak dibenarkan.

Selain sekatan pada laman web, SC menyerbu dan merampas dokumen, duit dan peralatan pejabat AB Fund kerana disyaki mengambil deposit secara haram bagi pelaburan menerusi laman webnya,
www.abfund.us dan www.abfundtrader.biz.

Azli berkata, kaedah Dynamic DNS juga popular kerana komputer pengguna dilengkapkan perisian khas yang mengesan alamat baru laman web yang sudah bertukar alamat.

Teknik paling mudah ialah dengan pengendali menghantar maklumat kandungan dan urus niaga laman web mereka menerusi e-mel kepada pelanggan. Maklumat menerusi e-mel tidak disekat mana-mana pihak, katanya.

Beliau berkata, untuk memastikan sebarang tindakan berkesan, pihak berkuasa perlu menyekat isi kandungan dan akses laman web, tetapi ini memakan masa dan kos kerana penyedia internet perlu menyediakan pelayan khas bagi menapis maklumat.

Katanya, antara cara untuk terus mengakses laman web yang disekat ialah pengendali menukar alamat laman web dan memaklumkan kepada pelanggan mereka menerusi SMS atau e-mel alamat baru mereka.

Sementara itu, jurucakap Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengaku tiada jaminan laman web yang sudah disekat tidak boleh diakses pengguna.

Pengguna akan sentiasa mempunyai cara menggodam internet untuk manfaat mereka, tetapi kita sudah mengambil tindakan yang perlu untuk menyekat kemudahan teknologi daripada disalahgunakan, katanya.