20 peratus laman web haram masih beroperasi
11 Jun 2007 (Utusan Malaysia)
Oleh KHAIRUL AZRAN HUSSIN dan TAN MING WAI

KUALA LUMPUR 10 Jun - Hampir 20 peratus daripada 45 laman web tempatan dan asing yang dikesan menjalankan aktiviti pasaran modal dan sekuriti tanpa kelulusan Suruhanjaya Sekuriti (SC) masih beroperasi meskipun tarikh akhir penutupan laman web itu akan berkuat kuasa esok.

Tinjauan Utusan Malaysia hari ini mendapati, kebanyakan laman web yang disenaraikan oleh SC itu masih lagi dapat diakses oleh pengguna.

Antara laman web yang dikesan masih beroperasi ialah www.swedenfund.com; www.prowealthsolutions.com; www.myshare2u.com; www.mydinar. net; www.eduit.com; www.usfunds.com; www.sunshine-empire.com dan www. simesecurities.net.

Pada 31 Mei lalu, SC bertegas dengan memberi amaran kepada semua pelabur skim yang tidak sah melalui Internet supaya mengeluarkan wang pelaburan sebelum 11 Jun ini.

Jika tidak, bermula dari tarikh tersebut, akses ke laman-laman web yang mempromosikan skim pelaburan secara dalam talian yang tidak pasti kesahihannya akan disekat.

Ini bermakna para pelabur yang masih tidak mengeluarkan wang masing-masing bukan saja tidak akan dapat lagi mengakses laman-laman web itu malah tidak lagi dapat memasuki akaun mereka bagi melakukan sebarang urus niaga.

Sementara itu, menurut kenyataan laman web SC, pihaknya telah menerima sebanyak 349 pertanyaan daripada orang ramai mengenai perkara tersebut ekoran pengumuman tindakan sekatan akses terhadap laman-laman web dalam senarainya pada 31 Mei lalu.

Berikutan itu, SC turut menyediakan satu set soalan yang mengandungi 16 jawapan untuk panduan orang ramai yang ingin mengetahui secara jelas tindakan badan itu.

"Seseorang yang didapati mempromosikan atau bersubahat dalam mana-mana aktiviti pelaburan tidak sah boleh didenda sehingga RM1 juta atau boleh dipenjara bagi tempoh tidak melebihi 10 tahun, atau kedua-duanya sekali.

"Usaha SC untuk menyekat akses kepada laman web pelaburan tidak sah ini akan dijalankan secara berterusan," tegas kenyataan yang dipetik daripada beberapa set soalan dalam laman web SC itu.

Pada 12 April lalu, Majlis Fatwa Kebangsaan pada persidangan di Kuala Terengganu membuat ketetapan bahawa semua pelaburan di Internet, termasuk SwissCash yang menjanjikan faedah atau pulangan tetap sebagai haram kerana berunsur riba.

Keputusan majlis itu memberi kesan kepada aktiviti pelaburan melibatkan tidak kurang 500,000 orang Islam termasuk golongan kenamaan dan profesional berpangkat Tan Sri dan Datuk.

Nilai pelaburan keseluruhan dalam skim melalui Internet itu dianggar mencecah RM1 bilion.

Orang ramai boleh melayari laman web SC di www.sc.com.my bagi mendapat perkembangan lanjut berhubung perkara tersebut.