Mendekatkan masyarakat dengan ICT
17 May 2007 (Utusan Malaysia)

Oleh SITI AINIZA KAMSARI (WARTAWAN UTUSAN)

TARIKH 17 Mei pada setiap tahun merupakan saat paling bersejarah bagi komuniti telekomunikasi di seluruh dunia. Dengan cara dan suasana yang tersendiri pelbagai pihak yang terbabit dalam industri ini akan menyambut Hari Telekomunikasi dengan cara dan gaya tersendiri.

Namun menyingkap tirai sejarahnya atau lebih tepat yang berlaku pada 140 tahun lalu di Paris, Perancis, di situlah sejarah Hari Telekomunikasi bermula apabila pada 17 Mei 1865, Konvensyen Telegraf Sedunia (KTS) buat pertama kalinya diadakan di peringkat dunia. Sebanyak 20 negara Eropah menandatangani konvensyen itu yang kemudiannya menjadi titik awal peringatan Hari Telekomunikasi Sedunia (World Telecommunication Day) yang disambut sehingga ke hari ini.

Banyak sejarah lain tercatat dari tarikh tersebut. Antaranya penubuhan International Telecommunication Union (ITU) yang dibentuk bersamaan KTS itu ditandatangani.

Kini kita terpaksa mengakui bahawa wajah dunia begitu diubah oleh kemajuan yang dicapai oleh telekomunikasi.

Dapat menerima dan membuat panggilan, mendengarkan siaran radio, menonton telefon, menjelajah dunia secara maya atau siber selama 24 jam sehari secara serentak dan tanpa dapat ditunda-tunda lagi.

Lantas apalah ertinya jika sesebuah negara itu begitu kaya dengan segala macam sumber aslinya tetapi tidak dilengkapi dengan peralatan dan teknologi komunikasi. Dapatkah negara itu mencapai kemajuan sedangkan manusia sejak di zaman batu lagi, menciptakan pelbagai cara bagi membolehkan mereka saling berkomunikasi.

Perkembangan pesat telekomunikasi tidak mampu dihalang lagi. Setiap hari bagaikan hari-hari baru bagi penciptaan segala macam peralatan dan teknologi bidang itu.

Malah pada setiap hari itu jugalah teknologi yang dianggap terkini itu sebenarnya sudah ketinggalan zaman! Atau lebih tepat lagi tinggal sejarah teknologi yang dahulunya hanya mampu mendengarkan suara di corong dan gagang.

Begitupun masih ada laporan yang menghendaki setiap negara di dunia supaya menatang minyak yang penuh terhadap perkembangan telekomunikasi.

Ini apabila tidak dinafikan kewujudan jurang digital yang umumnya begitu dimanfaatkan hanya di kebanyakan negara maju.

Laporan Data ITU pada 2001 misalnya, menunjukkan jumlah pengguna Internet hanya berkisar lima peratus daripada keseluruhan jumlah penduduk dunia. Sebanyak 85 peratus daripada jumlah itu didapati tinggal di negara-negara maju dan termasuk juga 90 peratus hos-hos Internet hanya berada di negara-negara itu.

Namun Malaysia, tidak pernah menoleh ke belakang mengenai perkembangan telekomunikasi, malah sentiasa mahukan agar bidang itu mendapat keutamaan dan menjadi pemilikan wajib atau wajib ada di setiap kalangan rakyat negara ini.

Maka menyambut Hari Telekomunikasi dan Masyarakat Bermaklumat Sedunia 2007 pada hari ini begitu signifikan kepada setiap individu di negara ini.

Apatah lagi dengan pemilihan tema untuk sambutan kali ini iaitu "Menghubungkan Generasi Muda: Pelbagai Peluang Melalui ICT" bererti tumpuan diberikan kepada golongan yang lazimnya terawal dan paling ramai melibatkan diri mereka di bidang ini.

Menafikan golongan ini daripada menguasai terutamanya ICT, bererti apa yang ada di masa hadapan sesebuah negara itu hanya suram dan gelap.m

Dua agensi utama negara, berperanan penting bagi memastikan negara menikmati perkembangan teknologi komunikasi, iaitu Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi (KTAK) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKM).

Melalui dua agensi kemudiannya berjaya melahirkan begitu ramai peneraju dan pemain-pemain utama dalam bidang komunikasi yang didapati berjaya menyediakan begitu banyak peluang-peluang pembangunan bagi menjana pendapatan negara.

Walaupun komunikasi itu juga bererti memenuhi ragam dan kerenah manusia yang pelbagai terutama yang kini lebih mementingkan kecanggihan, bestari dan kepantasan!

Perkara ini begitu mendapat perhatian Menterinya, Datuk Seri Dr. Lim Keng Yeik. Antara yang sedang diusahakan oleh kementerian tersebut dengan kerjasama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan ialah menyediakan infrastruktur gentian optik dalam kawasan kediaman dan komersial bagi meningkatkan penggunaan jalur lebar (broad band) di seluruh negara.

Keng Yaik berkata, cadangan bagi mewujudkan prasarana gentian optik itu bukan untuk membebankan pemaju sebaliknya ia bakal memberi nilai tambah kepada projek hartanah yang dilaksanakan oleh pihak pemaju itu.

"Siapa kata membebankan? Apabila ada kemudahan tersebut, masakan pemaju akan memberi (penggunaan) secara percuma?" katanya.

Menurutnya lagi, ia selaras dengan Pelan Jalur Lebar Kebangsaan yang menetapkan sasaran penggunaan perkhidmatan itu kepada 2.8 juta orang menjelang tahun depan.

Menurutnya, pada tahun lalu jumlah penembusan jalur lebar meningkat kira-kira 79 peratus kepada 900,000 pelanggan.

Sesetengah menjadikan soal pelbagai istilah pengkomputeran misalnya menjadi penghalang untuk mendekatkan diri mereka dalam bidang komunikasi dan IT.

Tidak kurang juga beralasan Internet ada segala macam gejala di dalamnya, maka tidak ada faedahnya ia bidang ICT ini dikuasai.

Hendaknya dengan ada sambutan Hari Telekomunikasi dan Masyarakat Bermaklumat Sedunia 2007 pada hari ini dapat mengubah minda yang seperti itu sebelum ia kukuh menjadi satu pendirian yang teguh.