Mesyuarat Panel Penasihat MSC ke-10 hari ini
17 Jun 2007 (Utusan Malaysia)

PUTRAJAYA 16 Mei - Mesyuarat Panel Penasihat Antarabangsa Koridor Raya Multimedia (MSC) ke-10 yang bermula esok akan menumpukan usaha bagaimana menjadikan industri teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) tempatan terus berdaya saing dan dapat menembusi pasaran antarabangsa.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Jamaludin Jarjis berkata, mesyuarat tersebut memberikan peluang kepada Malaysia untuk berkongsi pengalaman dengan pemain-pemain dalam industri ICT antarabangsa termasuk resipi yang digunakan hingga mereka mampu berkembang di peringkat global.

"MSC yang kini berada dalam peringkat lonjakan kedua akan menumpukan bagaimana untuk membangunkan industri ICT kita sendiri dan kemudian dapat berkembang ke peringkat antarabangsa.

"Ini kerana sebelum ini kita lebih menekan usaha menarik lebih ramai 'pemain' antarabangsa datang melabur di negara ini," katanya dalam taklimat kepada pemberita mengenai mesyuarat selama tiga hari yang bermula esok itu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.

Mesyuarat tersebut akan dirasmikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan selepas itu diikuti dengan mesyuarat berasingan bersama setiap anggota IAP yang diketuai oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Badawi.

Tema mesyuarat kali ini ialah 'Membawa MSC Malaysia ke Peringkat Global: Membangunkan Infrastruktur Ilmu Pengetahuan dan Mencipta Bakat'.

Menurut Jamaludin, pada mesyuarat kali ini, Perdana Menteri dijadual mengumumkan beberapa inisiatif pembangunan industri isu kandungan ICT seperti animasi termasuk bentuk pembangunan infrastruktur berasaskan ilmu pengetahuan yang akan ditawarkan oleh Malaysia.

Ini katanya, sejajar dengan fokus yang digariskan oleh Perdana Menteri iaitu memperkembangkan ekonomi baru melalui pembangunan nilai tambah berdasarkan ilmu pengetahuan.

Jamaludin menjelaskan, ketika ini, MSC berusaha menarik lebih banyak syarikat ICT antarabangsa untuk melabur di Malaysia kerana ia boleh menawarkan ribuan peluang pekerjaan kepada rakyat negara ini.

Ini, katanya, dilakukan dengan menggalakkan syarikat dari luar negara menjadikan negara ini sebagai pusat untuk mereka melakukan penyumberan luar.