7 laman web, 1 syarikat dalam senarai amaran
11 May 2007 (Utusan Malaysia)
Oleh: TAN MING WAI

KUALA LUMPUR 10 Mei - Suruhanjaya Sekuriti (SC) menyenaraikan tujuh lagi laman web dan sebuah syarikat sendirian berhad dalam senarai amaran kerana melanggar undang-undang sekuriti menerusi skim pelaburan mencurigakan.

Dengan itu, SC kini telah menyenaraikan 50 laman web dan 18 syarikat setakat ini yang didapati menarik pelabur dengan berselindung di sebalik perniagaan jualan langsung atau peluang-peluang perniagaan.

Ketujuh-tujuh laman web tersebut ialah eUK Gold (www.eukgold.com), Eubond.com (www. eubond.com), Eduit 2u.com (www.esuissefund. com), Euro America Index (www.eaindex.com), Fical (www.fical.net/www.fical.us), UeBond (www.uebond.com) dan Win Li Fun (www.winlifun.com).

Menurut laman web SC (www. sc.com.my), sebuah lagi syarikat yang dimasukkan dalam Senarai Amaran SC itu ialah Jai Network System Sdn. Bhd.

Jelas web itu, senarai tersebut mengandungi syarikat dan laman web yang tidak diiktiraf atau tidak diluluskan di bawah undang-undang sekuriti untuk menjalankan urus niaga pasaran sekuriti.

Tambahnya, ini termasuk memberi nasihat pelaburan atau perkhidmatan pengurusan dana atau yang berkaitan dengan pasaran sekuriti atau pasaran niaga hadapan.

"Pelabur adalah dinasihatkan untuk tidak membuat apa-apa pelaburan melalui syarikat yang tidak dilesenkan atau yang tidak diluluskan SC.

"Tawaran kepada pelabur selalunya adalah dalam bentuk pelbagai peluang atau skim pelaburan yang menarik dan mungkin juga berselindung di sebalik perniagaan jualan langsung atau peluang perniagaan," kata SC dalam web itu.

Ini antara langkah SC dalam usaha memerangi kegiatan menjalankan perniagaan sekuriti dan pasaran modal serta saham secara haram menerusi Internet yang dijangka menarik lebih 500,000 pelabur tempatan dan perniagaan itu dianggarkan bernilai lebih RM1 bilion.

Sambutan menggalakkan dalam bidang perniagaan haram ini menggambarkan betapa tinggi keinginan pelabur-pelabur mencari jalan pintas untuk mendapat untung berlipat kali ganda dalam jangka masa pendek.

Orang ramai boleh memaklumkan mengenai sebarang maklumat tentang laman web berkaitan pelaburan dan perkhidmatan yang dicurigai ke pengetahuan SC.

Menurut laman web SC, adalah wajib semua pengendalian aktiviti pasaran modal mahupun pelaburan mendapatkan lesen mengikut undang-undang sekuriti yang ditetapkan.

SC turut menyatakan bahawa pelaburan yang selamat adalah menerusi saluran yang boleh diperakui, iaitu melabur di pihak-pihak yang memiliki lesen diluluskan SC.

SC meminta orang ramai yang ingin meminta penjelasan atau membuat aduan supaya menghubungi 03-6204 8999 atau e-mel aduan@seccom. com.my.