Wajarkah laman blog dikawal?
9 Mei 2007 (Utusan Malaysia)

MENTERI Penerangan, Datuk Seri Zainuddin Maidin telah membangkitkan soal keperluan mengklasifikasikan kalangan pengamal blog kepada yang profesional dan juga tidak profesional.

Ia bertujuan mengurangkan penyalahgunaan blog dan laman web oleh pihak tertentu demi kepentingan masing-masing.

Perkara tersebut turut disuarakan oleh Ketua Pengawai Eksekutif Nice Martin Press, Mitchel Camboul semasa pertemuan dengan Zainuddin di Perancis, baru-baru ini.

Ramai khususnya pengamal blog memberikan reaksi negatif terhadap kenyataan beliau kerana mahukan agar kebebasan mereka untuk menyuarakan pandangan tidak dikawal oleh mana-mana pihak.

Ada juga yang mempersoalkan cara dan mekanisme bagaimanakah yang hendak digunakan, atau siapakah yang dikatakan sebagai profesional dan juga bukan profesional.

Persoalan yang mereka bangkitkan lagi ialah bagaimanakah kerajaan hendak mengawal kewujudan dan kandungan laman web yang boleh didaftarkan dengan begitu mudah di seluruh dunia?

Bagaimanapun saya percaya ramai juga yang bersetuju dengan pandangan Menteri Penerangan dan juga beberapa menteri lain dalam soal pengawalan laman blog.

Ini terutamanya bagi mereka yang melihat perkara ini secara meluas dan bukannya hanya dalam kongkongan kepentingan peribadi. Siapa yang sering melakukan kesalahan, akan takut adanya undang-undang ataupun bentuk kawalan.

Di sini perlulah ditanya, apakah semua yang menulis di laman web atau blog ini benar-benar menulis kerana kebenaran?

Negara kita akan menyambut kemerdekaan ke-50 dan tentunya kita hendak terus melihat untuk 50 tahun yang akan datang, malah lebih lagi, keharmonian yang telah tercapai selama ini, berterusan.

Jika kita telah pun berjaya hidup dalam keadaan aman damai, bersatu padu dengan adanya Perlembagaan negara dan konsensus oleh pemimpin-pemimpin terdahulu mengenai kedudukan raja-raja Melayu, hak istimewa orang Melayu, agama Islam dan beberapa perkara lain, mengapakah perkara itu perlu ditimbulkan?

Umpamanya membangkitkan semula perjuangan komunis seperti hendak membetulkan kesilapan mereka. Harus diingat ramai anggota keselamatan kita yang terkorban, ramai penduduk yang menjadi mangsa, menderita hanya kerana tidak mahu menerima ideologi perjuangan komunis. Tetapi pihak tertentu di negara kita telah memberikan tempat kepada filem-filem berkaitan perjuangan komunis yang telah diharamkan di negara ini.

Satu lagi faktor yang perlu dilihat ialah tahap capaian Internet dan tahap penggunaannya di negara ini yang masih terbatas. Ia lebih banyak digunakan oleh masyarakat di bandar dan kurang di kawasan luar bandar.

Ini bermakna beberapa soal yang sensitif ini hanya diperbincangkan dengan bebasnya oleh penduduk di bandar-bandar besar sahaja. Sedangkan kebanyakan hak-hak istimewa ini tidak dinikmati oleh penduduk di luar bandar.

Keadaan ini juga akan menimbulkan ketidaksamaan pendapat antara penduduk di bandar dan luar bandar. Ada juga pihak yang merasa terhina selain mencetuskan perasaan marah terhadap ketidaksamaan dan sekali gus menimbulkan perasaan perkauman.

Keadaan ini tentunya mahu kita elakkan. Apakah kita telah lupa kejadian berdarah 13 Mei 1969?

Saya percaya kerajaan yang didukung oleh UMNO tidak akan tunduk kepada usaha-usaha oleh pihak-pihak tertentu untuk membicarakan secara bebas soal-soal hak istimewa orang Melayu, kedudukan raja-raja Melayu dan lain-lain yang terkandung dalam Perlembagaan semata-mata kerana hendak dipuja oleh negara Barat bahawa kita sebuah negara bebas.

- AHMAD AZRIN,

Kuala Terengganu.