Risiko melabur Internet
19 April 2007(Utusan Malaysia)
Oleh RAMLI ABDUL KARIM

KUALA LUMPUR 18 April - Suruhanjaya Sekuriti (SC) menyenaraikan 43 laman web dan 17 syarikat pengantara pasaran modal pelaburan Internet yang menjanjikan pulangan berlipat ganda dalam Senarai Amaran untuk dijauhi orang ramai.

Ini kerana, laman-laman web tersebut dan syarikat terlibat menjadi pengantara pasaran modal menjalankan aktiviti pelaburan mencurigakan, tidak berlesen, melanggar undang- undang dan mengutip deposit secara haram.

Semua aktiviti dijalankan oleh 60 laman web dan syarikat itu dianggarkan melibatkan 500,000 pelabur tempatan dengan nilai pelaburan tidak kurang RM1 bilion iaitu transaksi hampir keseluruhannya dalam dolar Amerika (USD).

Menurut laman web rasmi SC (sc.com.my), skim itu antara skim itu ialah SwissCash atau Swiss Mutual Fund (swisscash.com, swisscash.biz, swisscash.net); Buy-e-barrel (buyebarrel.us, buyebarrael.com); Al-Arabic Fund (al-arabic.com) dan ABB Fund (abbfund. com).

Bagi skim yang kononnya berpangkalan di Dubai, Cambridge Capital Trading (cambridgecapitaltrading.com, dubaiex.com), SC telah pun mengeluarkan kenyataan pada 26 Februari lalu berhubung tindakan pembekuan dua akaun bank berjumlah RM1.6 juta kerana dipercayai terlibat dalam kes penipuan.

SC pada 5 September 2006 juga mengeluarkan kenyataan bersama dengan Bank Negara Malaysia (BNM) mengenai skim pelaburan SwissCash yang mencurigakan, tidak berlesen dan mengutip deposit haram.

Laman web SC juga menyediakan kemudahan menyemak status laman web atau syarikat pengantara pasaran modal lain menerusi enjin pencari: www.sc.com.my/eng/html/licensing/ fr_lic_ELA. html.

Sambutan

Hasilnya, pelaburan I Love U For Ever (iluf.biz) yang mendapat sambutan hangat orang ramai ketika ini juga merupakan bakal disenaraikan dalam Senarai Amaran kerana sebab-sebab yang sama.Antara syarikat atau skim pengantara pasaran modal yang termasuk dalam Senarai Amaran SC ialah Jai Network Sdn. Bhd., Matrix Cash, Hibah Fund, CB.IRAQ, Capital Glory Holdings Ltd, Duit Wayang, GC Group Asset Management, Ocean Balance Ltd dan 3A Consulting Group Sdn. Bhd.

SC meminta orang ramai yang ingin meminta penjelasan atau membuat aduan supaya menghubungi 03-62048999 atau e-mel aduan@seccom.com.my.

"Orang ramai yang mengenal pasti dan mengetahui sesuatu laman web yang mencurigakan bolehlah menghantar e-mel kepada kami atau sebarang maklumat di Internet berkaitan pelaburan dan perkhidmatan boleh disalurkan kepada SC," jelas SC dalam laman web itu.

"Melesenkan semua pengantara pasaran modal ialah satu daripada langkah diambil SC untuk memenuhi tanggungjawab berkenaan dan dengan itu, undang-undang sekuriti mewajibkan semua orang yang mengendalikan aktiviti (pasaran modal dan pelaburan) mestilah dilesenkan oleh SC.

"Amat penting kepada para pelabur untuk melabur hanya dengan pihak-pihak yang berlesen dan dilindungi mengikut undang-undang sekuriti," katanya.

Laman web itu seterusnya menyatakan, SC memberi peringatan dan amaran kepada orang ramai mengenai pihak-pihak tertentu yang menjalankan aktiviti pasaran modal tanpa lesen dan berkemungkinan besar berunsur penipuan.

Pada 12 April lalu, Majlis Fatwa Kebangsaan dalam persidangan ke-77 di Kuala Terengganu membuat ketetapan bahawa semua pelaburan di Internet, termasuk SwissCash yang menjanjikan faedah atau pulangan tetap sebagai haram kerana berunsur riba.

Pada 14 April pula, Utusan Malaysia mendedahkan bahawa skim-skim pelaburan dalam saham Internet menyerupai skim cepat kaya itu sebenarnya didalangi rakyat tempatan sendiri yang mengaburi mata rakyat dengan imej laman web kononnya beroperasi dari luar negara khususnya Amerika Syarikat.

Dalang-dalang terbabit membuka sesuatu laman web dan kemudian membuka yang baru apabila web terdahulu sudah mencapai tahap tepu dan tidak terkawal.

Penyiasatan Utusan Malaysia itu membongkar fakta bahawa 80 hingga 98 peratus pelabur dalam laman web skim-skim saham ini adalah rakyat Malaysia walaupun ia kononnya global dan diiktiraf dunia.