Kenapa lambat hukum haram pelaburan Internet?
19 April 2007 (Utusan Malaysia)

MINGGU lepas seluruh negara dikejutkan dengan kenyataan demi kenyataan oleh pelbagai pihak tentang pelaburan Internet bermula dari sudut agama oleh para mufti, kenyataan menteri berkaitan dan orang ramai.

Namun yang menjadi kemusykilan, apakah tindakan susulan terhadap perkara ini. Yang menjadi mangsa keadaan merupakan para pelabur yang kebanyakannya golongan berpendapatan sederhana dan rendah yang benar-benar mengharapkan pulangan dari pelaburan ini dapat membantu meringankan beban kewangan mereka.

Golongan ini bukanlah berharap untuk menjadi kaya-raya, tetapi malangnya apa yang diharapkan menjadi abu sahaja.

Sementara golongan berada melabur kerana mereka memperjudikan lebihan kewangan yang mereka ada dan sekiranya untung, itu merupakan bonus kepada mereka dan sekiranya rugi, mereka tidak ada apa yang hendak dikesalkan.

Sebelum membuat pelbagai kenyataan, pihak berkenaan harus membuat kajian dahulu dari sudut kesannya terhadap masyarakat.

Sekarang ini perpecahan telah berlaku - kawan bergaduh dengan kawan, suami bergaduh dengan isteri.

Perasaan mereka yang melabur dan mereka yang mengesyorkan pelaburan berkenaan umpama api dalam sekam, timbul perasaan marah dan dendam.

Persoalan lain mengapa setelah lama pelaburan ini bermula, maka baru ada kenyataan soal halal haram?

Dalam kenyataan yang dibuat, banyak pihak mengatakan bahawa mereka telah menyiasat laman-laman web berkenaan, alamat hosting, server di negara mana dan mengaku amat arif tentang teknologi maklumat (IT).

Persoalan utama mengapa pengendali laman-laman web seperti abfund, danafutures, fical metal, winli dan lain-lain tidak ditangkap. Sudah pasti mereka mudah dijejaki kerana alamat hosting mereka jelas. Sekiranya penyebar e-mel layang boleh ditangkap mengapa tidak mereka?

Golongan ini sebenarnya lebih ganas daripada perompak bank, setaraf dengan pengedar dadah dan lebih halus dari jin serta syaitan.

Mereka telah merompak pendapatan daripada tukang sapu sampah sehinggalah golongan yang mengaku terpelajar.

Membuat kenyataan memang mudah walau apa alasannya tetapi kesan ke atas pihak lain yang menjadi mangsa harus dipertimbangkan.

Hukumlah mereka yang mencipta pelaburan ini, pengendali lama web, master trader kerana mereka hidup senang-lenang walaupun pelabur yang menderita


– ABANG,

Kuala Lumpur.