Labur skim terjamin -- Najib minta rakyat tidak cari jalan pintas raih kekayaan
21 April 2007 (Utusan Malaysia)
Oleh Nazrullah Rosli dan Ainul Asnera Ahsan

KUANTAN 20 April – Datuk Seri Najib Tun Razak meminta rakyat tidak mencari jalan pintas untuk meraih kekayaan dengan menyertai skim cepat kaya menerusi Internet sebaliknya melaburkan wang mereka dalam institusi yang dijamin kerajaan seperti Permodalan Nasional Berhad (PNB).

Timbalan Perdana Menteri berkata, PNB menawarkan dana-dana saham amanah yang menyediakan pelaburan telus dan sentiasa dipantau oleh badan-badan kawal selia yang membolehkan para pelabur mengikuti perkembangan dan melihat prestasi pelaburan mereka.

Sedangkan skim pelaburan melalui Internet, katanya, tidak terjamin dan hanya mengundang malapetaka yang lebih besar kepada para pelabur yang akan kehilangan wang hasil simpanan mereka.

"Kita akan kehilangan wang simpanan kita, lebih-lebih lagi bagi kumpulan sasar yang sudah agak berumur dan sukar untuk mencari punca pendapatan baru," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2007 di Padang MPK 2 di sini, hari ini.

Hadir sama Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob; Pengerusi PNB, Tan Sri Ahmad Sarji Abdul Hamid serta Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman.

Najib memberitahu, skim pelaburan Internet yang semakin banyak mempengaruhi rakyat negara kini tidak selamat kerana ia tiada perbezaan dengan skim Pak Man Telo yang pernah menggugat kekayaan negara tidak lama dulu.

"Kita jangan anggap skim pelaburan Internet itu lebih baik sebab ia dibuat menerusi Internet. Sebenarnya, kelebihan skim-skim saham amanah ini bergantung kepada pengendalinya.

"Sebab itu, saya sarankan seluruh rakyat Malaysia, tidak kira kedudukan supaya membuat pelaburan menerusi PNB.

"Pelaburan melalui Internet tidak selamat dan bayangkan kita (golongan pencen) kehilangan wang simpanan sekelip mata, hari persaraan kita akan mengundang keadaan tidak tenteram kerana kita tidak memiliki apa-apa lagi,” katanya.

Pada sidang akhbar selepas itu, Najib menasihatkan masyarakat Islam supaya melabur dalam saham amanah kerana aktiviti dagangannya berlandaskan hukum syariah.

"Kita sudah keluarkan fatwa, skim (pelaburan dalam pelbagai bentuk saham amanah) adalah selaras dengan prinsip syariah, tidak timbul soal itu (pelaburan saham amanah sebagai haram)," katanya.

Beliau mengulas dakwaan sesetengah pihak kononnya pelaburan dalam saham amanah itu juga haram seperti mana fatwa dikeluarkan oleh Majlis Ulama Kebangsaan mengenai pelaburan di Internet.

Mengulas lanjut mengenai skim pelaburan di Internet, jelasnya, kerajaan bersedia menilai dari segi perundangan sama ada aktiviti pelaburan jenis itu boleh diambil sebarang tindakan.

Sementara itu, dalam ucapannya, Najib turut melahirkan rasa bangga dengan prestasi syarikat-syarikat PNB kerana terus mencatatkan prestasi cemerlang, sekali gus membuktikan ia diurus dengan begitu cekap dan baik.