Penulis blog perlu lebih bertanggungjawab – Dr. Mahathir
19 April 2006 (Utusan Malaysia)

PUTRAJAYA 18 April – Tun Dr. Mahathir Mohamad menggesa para penulis blog yang kini dianggap sebagai sumber maklumat alternatif bersikap lebih bertanggungjawab dengan menyiarkan laporan yang betul.

Bekas Perdana Menteri berpendapat, kerajaan tidak perlu menghentikan kegiatan penulis blog tersebut selagi laporan yang disiarkan adalah betul dan tidak mempunyai unsur yang boleh menjejaskan kestabilan negara.

"Semua orang perlu memain peranan tetapi perlu berpegang teguh kepada kebenaran, jangan bersikap menambah-tambah atau mereka-reka sesuatu laporan.

"Selagi (mereka) menyiarkan yang betul dan tidak ada unsur-unsur yang boleh menyebabkan ketidakstabilan negara, saya fikir mereka melakukan sesuatu yang betul dan saya tidak fikir kerajaan perlu menghentikannya," katanya kepada pemberita selepas berucap pada Siri Wacana Perdana Ke-6 bertajuk Media dan Pembangunan Nasional di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini hari ini.

Mengenai cadangan supaya laman blog politik didaftarkan, Dr. Mahathir berkata, perkara itu adalah sama seperti mengeluarkan lesen penerbitan kepada media sebagaimana amalan sekarang.

Jelas beliau, sekiranya langkah tersebut dirasakan perlu dan mendatangkan kebaikan kepada pengamal media, ia boleh dilaksanakan.

"Sebaliknya, jika langkah mendaftar dilakukan untuk mengugut orang, kalau tidak berlaku baik anda diberitahu bahawa tindakan akan dikenakan, itu tidak baik dan banyak pihak memberitahu saya bahawa orang takut (dengan tindakan tersebut)," katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Dr. Mahathir berkata, media memainkan peranan yang besar dalam membantu membangunkan negara dengan memberikan maklumat yang tepat kepada rakyat dan bersikap bertanggungjawab.

Sebaliknya beliau menjelaskan, media juga boleh menyebabkan kemusnahan negara sekiranya ia mengamal kebebasan secara mutlak seperti menyiarkan laporan mengenai konflik perkauman.

Dalam sebuah negara demokrasi, kata beliau, orang ramai mempunyai hak untuk mendapatkan laporan yang benar daripada media.