Microsoft Forefront melindungi keselamatan data
19 April 2007 (Utusan Malaysia)
Oleh Mohd. Khuzairi Ismail

PERINGATAN yang dikeluarkan oleh pakar-pakar komputer penghujung tahun lalu mengenai ancaman virus komputer yang lebih berbahaya sepanjang tahun ini memaksa syarikat komputer bertungkus lumus menghasilkan perisian keselamatan (anti virus) untuk melindungi pengguna mereka.

Sememangnya peringatan itu perlu diambil perhatian kerana sepanjang tahun lalu, satu virus seperti trojan dan spyware disebarkan di alam maya setiap hari berbanding satu setiap seminggu pada tahun sebelumnya.

Lebih membimbangkan, semakin berkuasa sistem anti virus yang dibangunkan oleh syarikat perisian, semakin canggih pula virus-virus yang tersebar dan menyerang pengguna komputer.

Bagaimanapun sesuatu yang pasti, ancaman virus komputer ini masih boleh dikekang oleh perisian keselamatan data yang dibangunkan syarikat perisian terkemuka, antaranya Microsoft yang memperkenalkan produk terbaru mereka iaitu Microsoft Forefront.

Dibangunkan hasil penyelidikan terhadap persekitaran virus komputer antarabangsa sejak dua tahun lalu, perisian anti virus Microsoft Forefront itu menawarkan perlindungan keselamatan data kepada pelbagai peringkat pengguna terutamanya kepada organisasi yang mempunyai rangkaian cawangan.

Menurut Pengarah Pemasaran Penyelesaian Produk, Organisasi Pemasaran Perniagaan Microsoft, Ramesh Rajandran, perisian antivirus Microsoft Forefront itu berkemampuan melindungi dan mengawal kemasukan data bukan sahaja pada komputer malah di peringkat pelayan dan juga rangkaian.

"Perlindungan yang diberikan oleh rangkaian produk Microsoft Forefront ini juga adalah menepati komitmen Microsoft dalam menawarkan perlindungan keselamatan IT yang dipertingkatkan dalam cara yang mudah untuk diurus dan digunakan," katanya ketika melancarkan perisian terbaru itu di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Hadir dalam beberapa rangkaian produk perisian anti virus bagi peringkat pengguna dan ancaman virus komputer berbeza, Microsoft menawarkan tiga produk bawah Microsoft Forefront tersebut pada peringkat permulaan.

Produk itu masing-masing Microsoft Forefront Client Security, Microsoft Forefront Security for Exchange Server dan Microsoft Forefront Security for SharePoint.

Ketiga-tiga produk berkenaan dibangunkan untuk memudahkan pelaksanaan, konfigurasi, pengurusan, laporan dan analisis bagi memberi jaminan kepada pengguna dan organisasi bahawa keselamatan data mereka benar-benar dilindungi.

Microsoft Forefront Client Security misalnya menawarkan perlindungan daripada malware kepada komputer dan sistem pelayan operasi di sesebuah organisasi berasaskan perniagaan yang mudah untuk dikawal dan diuruskan.

Microsoft Forefront Security for Exchange Server pula bertanggungjawab melindungi persekitaran maklumat Microsoft Exchange Server daripada pelbagai jenis virus, spam dan sebagainya.

Microsoft Forefront Security for SharePoint bagaimanapun lebih berkuasa apabila menggabungkan sembilan jenis enjin pengesan virus untuk membantu melindungi data pengguna secara komprehensif terutama data-data penting dan sulit.

Kesemua produk anti virus ini sudah berada di pasaran dan maklumat lanjut mengenainya boleh didapati dengan melayari www.microsoft.com/clientsecurity.