SC siasat kes pelaburan Internet
18 April 2007 (Utusan Malaysia)

KUALA LUMPUR 17 April – Suruhanjaya Sekuriti (SC) sedang memantau dan menyiasat kes-kes pelaburan Internet yang banyak dipromosikan di negara ini, kata Setiausaha Parlimen Kementerian Kewangan, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya.

Menurut beliau, pihak SC juga telah mengeluarkan peringatan melalui media cetak supaya orang ramai mendapat pengesahan daripada suruhanjaya itu untuk memastikan syarikat pelaburan tersebut mempunyai lesen yang sah.

"Individu atau syarikat yang menawarkan skim pelaburan perlu mendapatkan lesen daripada SC terlebih dahulu.

"Mereka yang didapati tidak mempunyai sebarang lesen tetapi menjalankan skim pelaburan boleh dianggap melanggar Akta Perindustrian Sekuriti 1983," katanya.

Hilmi berkata demikian ketika menggulung Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2006) 2007 pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Sabtu lalu, Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan skim pelaburan melalui Internet sebagai satu perangkap kepada mereka yang begitu ghairah untuk cepat kaya.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, skim melalui Internet itu memberi kesan yang sama seperti skim-skim cepat kaya yang lain.

Tambah Hilmi, SC juga telah menyenaraikan nama syarikat dan individu beserta alamat laman web mereka yang disyaki mempromosikan skim pelaburan Internet haram dalam laman web suruhanjaya itu.

Beliau memberitahu pihak SC juga sedang bekerjasama dengan Pusat Perkembangan Industri Sekuriti dalam menjalankan kempen bagi meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai skim pelaburan Internet.

"Melalui kempen ini orang ramai akan lebih berhati-hati dan tidak mudah tertipu dengan skim pelaburan yang ditawarkan melalui Internet," katanya.