Perak sedia kemudahan Internet jalur lebar percuma
27 Mac 2007 (Utusan Malaysia)

IPOH 26 Mac – Kerajaan Perak merancang mewujudkan kemudahan Internet jalur lebar tanpa wayar di semua bandar dan pekan di negeri itu mulai Julai ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali berkata, pada masa ini, 70 peratus kawasan di bandar raya Ipoh telah dibekalkan dengan kemudahan tersebut menerusi 25 stesen menggunakan teknologi Hotzone (Metro-WiFi).

Menurutnya, daripada jumlah itu, dua kawasan iaitu di Padang Ipoh dan padang Taman Dr. Seenivasagam dibekalkan dengan kemudahan tersebut secara percuma dengan kapasiti 250 pengguna pada satu-satu masa.

Perkhidmatan itu disediakan oleh kerajaan negeri dengan kerjasama Jaring Communications Sdn. Bhd. (Jaring) dan Red Snapper (M) Sdn. Bhd. dalam usaha menjayakan konsep negeri berasaskan pengetahuan (k-State) menjelang 2010.

Mohd. Tajol Rosli berkata, di dua lokasi berkenaan, pengguna boleh mendapat akses Internet secara percuma dalam lingkungan jarak 500 meter hingga satu kilometer dari stesen Hotzone.

"Mulai hari ini, orang ramai boleh datang ke dua lokasi itu untuk melayari Internet atau menghantar e-mel secara percuma menerusi komputer riba dan alat bantuan digital peribadi," katanya selepas melancarkan ‘Wireless Ipoh’ di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Pelajaran dan Teknologi Komunikasi negeri, Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir.

Pelancaran Ipoh sebagai Bandar Raya Tanpa Wayar merupakan fasa pertama usaha menjadikan Perak sebagai negeri berasaskan pengetahuan.

Tajol Rosli juga memberitahu, menjelang Jun ini, semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri itu dijangka menyediakan kemudahan akses Internet tanpa wayar secara percuma di tiga kawasan di setiap daerah.

Katanya, setakat ini, satu kawasan di bandar Gerik dan di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Tapah dan Sungai Perak di Lebuh raya Utara Selatan sudah disediakan dengan kemudahan percuma itu.

Katanya, bagi kawasan selain daripada kawasan akses percuma itu, kadar caj yang akan dikenakan adalah amat kompetitif dengan para pelajar boleh menggunakan kemudahan itu pada kadar subsidi.

"Dengan usaha-usaha ini, kerajaan negeri yakin dapat menjadikan Perak sebagai negeri berasaskan pengetahuan menjelang 2010," katanya.