Basic Bay - MDec jalin kerjasama strategi ICT
1 Ogos 2007 (Utusan Malaysia)
Oleh AMRAN AHMAD

CYBERJAYA 31 Julai - Kumpulan Basis Bay (Basis Bay) menjalinkan kerjasama strategik dengan Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC) bagi membangunkan makmal sumber terbuka teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

Ketua Pegawai Eksekutif Basis Bay, Datuk Praba Thiagarajah berkata, pembangunan makmal tersebut bertujuan melahirkan lebih ramai usahawan teknologi IT dan penciptaan perisian tercanggih.

"Makmal sumber terbuka IT ini mampu menjadi medan melahirkan usahawan teknokrat kerana menawarkan kos sewaan yang sangat rendah berbanding tempat lain.

"Setakat ini, kami telah meluluskan 31 firma ICT yang berminat untuk menyertai makmal ini bagi membangunkan produk yang mampu menebusi pasaran global,"katanya pada sidang akhbar selepas pelancaran makmal itu, di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif MDeC, Datuk Badlisham Ghazali.

Makmal yang membolehkan penggunanya beroperasi dengan teknologi sumber terbuka itu akan menggunakan komputer pelayan Basis Bay Jazz Series yang dibina menerusi projek NovaScale server dan menggunakan cip pemproses Intel Itanium serta teknologi inovatif Bull Flexible Architecture For Multiple Environmental atau FAME.