Polis yakin selesaikan kes foto bedah siasat Nurin
24 Oktober 2007 (Utusan Malaysia)

KUALA LUMPUR 23 Okt. Polis yakin dapat menyelesaikan kes penyebaran gambar bedah siasat ke atas mayat kanak-kanak malang, Nurin Jazlin Jazmin, 8, dalam tempoh dua minggu lagi.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Christoper Wan Soo Kee berkata, polis telah meminta bantuan Pusat Keselamatan Siber Kebangsaan (CyberSecurity), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan makmal forensik bagi membantu mengesan pihak yang menyebarkan gambar tersebut.

"Polis sudah merekodkan keterangan beberapa pegawai polis berhubung isu penyebaran gambar bedah siasat ke atas mayat kanak-kanak malang.

"Siasatan sedang dijalankan dan polis yakin akan dapat mencari orang yang menyebarkan gambar itu dalam tempoh terdekat," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini hari ini.

Gambar bedah siasat Nurin Jazlin, 8, dalam keadaan menyayat hati itu telah disebarkan oleh individu yang tidak bertanggungjawab melalui Internet dan khidmat pesanan ringkas (SMS) baru-baru ini.

Christoper memberitahu, beliau meminta orang ramai yang menerima gambar tersebut supaya membuangnya dan tidak menghantar kepada individu lain.

"Buanglah dan jangan sebarkan gambar tersebut bagi menghormati keluarga mangsa," ujarnya.

Pada 9 Oktober lalu, Jazimin Abdul Jalil membuat laporan polis berhubung tindakan pihak tidak bertanggung jawab yang menyebarkan gambar proses bedah siasat mayat anaknya, Nurin Jazlin, 8, menerusi Internet dan SMS.

Jazimin membuat laporan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi kira-kira pada pukul 9.40 malam dengan ditemani oleh sanak saudaranya.