SC fail saman sivil pertama
2 Oktober 2007 (Utusan Malaysia)

KUALA LUMPUR 1 Okt. - Suruhanjaya Sekuriti (SC) telah memfailkan saman sivil ke ke atas Pengarah Urusan dan pemegang saham FTEC Resources Bhd., Kenneth Vun @ Vun Yun Liun (Kenneth Vun), untuk mengarahkan beliau membayar semula wang sebanyak RM2.496 juta kepada syarikat itu.

Tindakan memfailkan saman itu merupakan yang pertama dilakukan oleh suruhanjaya tersebut. Kenyataan SC berkata, jumlah tersebut mewakili sebahagian daripada hasil yang dikumpul oleh FTEC dalam tawaran awam permulaan pada 2003.

"Siasatan SC ke atas penggunaan hasil terbitan awam oleh FTEC mendapati Vun telah menggunakan sebahagian daripada hasil untuk faedah dan kegunaannya sendiri.

"Penggunaan hasil itu tidak mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh SC dalam kelulusan penyenaraian FTEC," kata kenyataan SC itu hari ini.

Menurut SC, siasatan juga menunjukkan bahawa penggunaan peribadi hasil itu oleh Vun tidak dinyatakan dalam penyata kewangan suku tahunan tidak diaudit kumpulan FTEC bagi suku pertama yang berakhir pada 31 Mac 2004, yang dikeluarkan kepada Bursa Malaysia Securities Bhd.

Jelas kenyataan itu, hasil siasatan dalam saman yang difailkan pada 26 September lalu, SC memohon perintah mahkamah supaya Kenenth Vun secara peribadi membayar ganti rugi sebanyak RM2.496 juta.

"Kenneth Vun juga dihalang daripada menguruskan secara langsung atau tidak langsung dana FTEC dan atau mana-mana syarikat dalam kumpulan itu dengan ketiadaan pelaksanaan kawalan yang sempurna.

"FTEC perlu mendedahkan laporan yang diaudit bagi tahun kewangan akan datang dan cara bagaimana RM2.496 juta telah digunakan," katanya kenyataan itu.

Tambah kenyataan itu, Kenneth Vun perlu dipertanggungjawab bagi pemulangan sebarang jumlah faedah atau keuntungan yang diperolehi daripada jumlah RM2.946 juta itu kepada FRB.