Kerajaan kaji hukuman penganjur skim internet
21 April 2007 (Berita Harian)
Oleh Ahmad Ghazali Musa, Zainab Mohd Yatim dan Rohaniza Idris

KUANTAN: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak (gambar), berkata kerajaan akan menimbang mengambil tindakan undang-undang terhadap penganjur skim pelaburan internet.

Sambil menganggap skim pelaburan itu bahaya dan memberi kesan amat buruk terhadap pelabur, beliau berkata: "Kita kena tengok dari segi perundangan sama ada boleh diambil tindakan terhadap skim itu."

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Minggu Saham Amanah Malaysia 2007 di sini, semalam, Najib berkata, skim pelaburan internet menyerupai skim cepat kaya yang boleh menyebabkan pelaburan orang ramai hangus dalam masa terdekat.

Terdahulu, dalam ucapannya, Najib berkata, kerajaan masih menerima laporan berhubung skim cepat kaya yang berjaya mempengaruhi sebahagian rakyat.

Beliau menasihatkan orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan tawaran syarikat skim cepat kaya, termasuk skim pelaburan internet, sebaliknya hendaklah menimbang soal keselamatan pelaburan serta pulangan dividen atau bonus yang munasabah.

"Berdasarkan kriteria ini, pelaburan dalam saham amanah yang ditawarkan Permodalan Nasional Berhad (PNB) paling baik sekali untuk rakyat," katanya.

Mengenai kebimbangan sesetengah pihak berhubung soal halal dan haram dalam pelaburan saham amanah, Najib berkata, perkara itu tidak timbul kerana skim pelaburan PNB selaras dengan prinsip Syariah.

Isu pelaburan internet itu sebelum ini turut mendapat perhatian Majlis Fatwa Kebangsaan yang memutuskannya haram kerana mengandungi unsur riba dan gharar (keraguan).

Sementara itu, Pusat Keselamatan Siber Malaysia (Cybersecurity) yang bertanggungjawab mengendalikan keselamatan siber negara, mengesan 17 laman web menawarkan pelaburan internet, kebanyakannya menggunakan hos di luar negara.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutifnya, Lt Kol (B) Husin Jazri, berkata semua laman web itu dikesan hasil pemantauan agensi itu dari semasa ke semasa dan dipercayai banyak lagi laman web yang menawarkan skim berkenaan.

Beliau berkata, hasil siasatan juga mendapati 13 laman web yang menjalankan pelaburan internet sudah tidak boleh dilayari lagi kerana dalam penyelenggaraan.

"Selain itu, kita mendapati ada laman web pelaburan internet tidak boleh dilayari kerana pengendali berpindah ke laman web lain atau laman web ditutup penyedia perkhidmatan internet (ISP)," katanya kepada Berita Harian.

Ditanya sama ada Cybersecurity mempunyai kuasa menutup laman web pelaburan internet, beliau berkata, pihaknya hanya membantu pihak berkuasa daripada aspek teknikal.

Beliau berkata, pihaknya sudah mengemukakan tujuh laman web untuk disiasat pihak berkuasa termasuk Bank Negara Malaysia (BNM).

"Saya diberitahu beberapa agensi kerajaan lain turut menyerahkan nama pengendali laman web skim pelaburan itu kepada pihak berkuasa," katanya.