Laman web pelaburan internet ke BNM
Oleh Rohaniza Idris dan Norakmah Mat Youb (Berita Harian)
15/04/2007

KUALA LUMPUR: Pusat Keselamatan Siber Malaysia, pengendali keselamatan teknologi maklumat dan komunikasi negara sudah menyerahkan nama beberapa laman web yang disyaki menjalankan pelaburan internet dengan memperdayakan orang ramai kepada Bank Negara Malaysia (BNM) untuk tindakan selanjutnya.

Ketuanya, Leftenan Kol (B) Husin Jazir, berkata nama itu diserahkan selepas agensinya memantau beberapa laman web yang menjalankan pelaburan internet disyaki cuba mengaut keuntungan dengan mengelirukan pelabur dengan pelbagai tawaran menarik.

Katanya, Cyber Security yang sebelum ini dikenali sebagai Pusat Tindak Balas Kecemasan Kebangsaan (Niser) tidak boleh mengambil tindakan terhadap laman web yang menawarkan pelaburan internet berkenaan kerana tiada kuasa berbuat demikian.

Bagaimanapun, jika kerajaan meminta menutup mana-mana laman web yang menjejaskan keselamatan negara, kita boleh berbuat demikian. Setakat ini, belum ada arahan untuk menutup laman web pelaburan internet itu.

Oleh kerana pelaburan internet membabitkan perdagangan mata wang dan pasaran hadapan komoditi, BNM dan Suruhanjaya Sekuriti yang bertanggungjawab mengendalikannya termasuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pengendali laman web berkenaan, katanya dihubungi Berita Minggu, semalam.

Beliau mengulas laporan bahawa hampir semua laman web yang menjalankan pelaburan internet sebenarnya melakukan aktiviti pengumpulan wang deposit secara haram yang menyalahi undang-undang Malaysia.

Rabu lalu Majlis Fatwa Kebangsaan memutuskan sebarang pelaburan saham melalui internet yang menjamin keuntungan secara tetap adalah haram kerana ia mengandungi unsur riba dan gharar (keraguan).

Pada masa ini, beberapa skim pelaburan di internet yang popular di kalangan rakyat negara ini mengaku kononnya mereka syarikat pelaburan online telus yang menawarkan fenomena baru dunia pelaburan 'off shore'.

Isu pelaburan internet ini turut mendapat reaksi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang menegaskan orang ramai tidak seharusnya tertipu kerana ia adalah perangkap kepada golongan yang mahu cepat kaya.

"Sebenarnya, pelaburan menerusi internet adalah satu bentuk skim cepat kaya, tapi guna internet, tidak seperti Pak Mantelo yang bergiat aktif pada 1980-an menggunakan cara biasa. Kesannya sama. Orang ramai tak seharusnya tertipu dengan skim cepat kaya menerusi internet dan kita harap perkara ini diberi perhatian oleh pihak berkuasa," katanya selepas menyerahkan bantuan wang ihsan mangsa banjir di Pekan, semalam.

Beliau percaya Kementerian Air, Tenaga dan Komunikasi akan melihat dengan serius perkara itu dan dari segi undang-undang, BNM juga boleh bertindak ke atas mereka yang menjalankan sistem berkenaan tanpa lesen.

Mengenai pembabitan orang kenamaan yang dikatakan turut terbabit dalam kegiatan pelaburan menerusi Internet itu, Najib berkata: "Tak kira siapa... salah tetap salah".

Husin berkata, sejak isu pelaburan internet hangat diperkatakan di media, Cyber Security mengambil inisiatif sendiri menjalankan pemantauan ke atas laman web yang menawarkan pelaburan seumpama itu.

Katanya, sejauh mana pelaburan internet itu tulen atau menyeleweng tidak dapat dipastikan namun, sebagai langkah berjaga-jaga beberapa laman web perlu diteliti kerana ada kemungkinan ia cuba merangkap pengguna.

Tanpa menyatakan jumlah laman web yang dipantau agensi itu, katanya sebagai agensi yang menguruskan kerja berhubung teknikal teknologi maklumat dan komunikasi, mereka hanya boleh menjalankan pemantauan saja untuk mengaut keuntungan saja.