1,200 aduan jenayah internet tahun lalu
6 Mei 2007 (Berita Harian)
Oleh Siti Fatimah Mohamed Anwar dan Norakmah Mat Youb

SERDANG: Pusat Keselamatan Siber Malaysia, pengendali keselamatan teknologi maklumat dan komunikasi negara mengesan lebih 1,200 aduan membabitkan jenayah internet menerusi Pusat Aduan Awamnya sepanjang tahun lalu, yang sebahagian besar membabitkan kes penipuan siber, termasuk pelaburan haram melalui internet.

Ketuanya, Leftenan Kol (B) Husin Jazir, berkata maklumat aduan mengenai penyalahgunaan internet itu diperoleh menerusi laman web cybersecurity999 [at] cybersecurity.org.my yang mengumpul aduan organisasi dan orang awam mengenai ancaman siber, selain memberi khidmat nasihat kepada pelanggan.

"Setakat ini, 19 laman web menjalankan pelaburan internet dikesan dan sudah diserahkan kepada pihak berwajib untuk tindakan lanjut. Jumlah ini juga menunjukkan peningkatan ketara berbanding tujuh laman web pada pertengahan April lalu.

"Tindak balas kecemasan komputer bukan saja membantu pengguna internet menangani masalah siber tetapi maklumat dimanfaatkan untuk mengesan modus operandi dan dalang jenayah internet," katanya ketika ditemui Berita Minggu di pejabatnya.

Beliau berkata, sebagai agensi teknikal, pihaknya tiada kuasa untuk menutup atau menyekat laman web yang menyalahi undang-undang kerana tindakan hanya boleh dilakukan pihak berwajib seperti polis dan agensi penguatkuasaan lain.

"Tindakan masih boleh diambil terhadap penjenayah internet tetapi ia membabitkan usaha banyak pihak. Jenayah internet bukan seperti jenayah biasa ia lebih rumit kerana skopnya lebih luas kerana sesiapa saja boleh menjadi penjenayah siber, tambahan pula internet dunia tanpa sempadan.

"Daripada analisis Cyber Security hampir 80 peratus laman web yang menjalankan pelaburan internet berpangkalan di luar negara, sekali gus menyukarkan usaha penguatkuasaan. Bagi membasmi jenayah internet, ia membabitkan usaha seluruh dunia," katanya.

Beliau berkata, selain pelaburan internet, aduan tertinggi membabitkan jenayah internet yang turut dikesan membabitkan gangguan dengan niat ugutan seperti gambar lucah dan rakaman aksi melampau yang dilakukan individu untuk kepentingan peribadi.

"Jika dulu, ketika bercinta pasangan ada mengambil gambar dengan aksi lucah dan selepas berpisah, pihak yang tidak berpuas hati mengugut menyebarkan gambar berkenaan di internet. Masalah seperti ini banyak diterima pihak kami dan kita akan membantu dari aspek teknikal untuk memudahkan siasatan pihak berkuasa.

"Justeru, pengguna internet dinasihat lebih peka dan memastikan pangkalan data peribadi dilindungi dengan teknik jaringan pertahanan pelbagai tahap (defense indepth) bagi mengelak kebocoran maklumat rahsia dan peribadi selain jangan mudah percaya kepada individu lain," katanya.

Selain kes pelaburan internet dan penipuan siber, beliau berkata, pihaknya turut menerima ancaman penggodam yang bertujuan mengganggu sistem komputer terutama bagi syarikat yang tidak mengemaskini sistem pertahanan komputer mereka.

"Kami ingin menasihatkan badan kerajaan, swasta dan individu yang menggunakan perkhidmatan internet supaya sentiasa mengemaskinikan perisian antivirus dan sistem pertahanan syarikat mereka bagi mengelakkan kerugian dan masalah jika diserang penggodam.

"Jika kita peka terhadap tahap keselamatan sistem komputer, tidak mustahil masalah penggodam mampu diatasi. Organisasi dan pengguna internet juga disaran merujuk Siber Security sekiranya menjadi mangsa jenayah siber," katanya menjelaskan serangan penggodam di negara ini masih terkawal.