Thai akan saman YouTube siar klip video hina raja
5 Mei 2007 (Utusan Malaysia)

BANGKOK - Kerajaan akan memfailkan saman terhadap YouTube kerana keengganan laman web itu memadamkan klip-klip video yang menghina institusi beraja di negara ini.

Menteri Penerangan dan Teknologi Komunikasi, Sittichai Phokai-udom menjelaskan, saman itu akan dibuat di sebuah mahkamah di sini minggu depan atas dakwaan 'lese majeste' iaitu menghina raja.

Kerajaan telah menghalang akses kepada YouTube pada 4 April lalu apabila laman web itu tidak mengendahkan permintaan agar klip video menghina raja Thailand itu dibuang dari laman berkenaan.

Klip video itu menunjukkan lukisan grafiti berunsur provokatif yang dilukis di atas gambar Raja Bhumibol Adulyadej yang kini berusia 79 tahun.

Sebahagian daripada klip video itu menunjukkan gambar kaki di atas kepala Bhumibol yang diatur seiring dan disertai dengan lagu kebangsaan Thailand.

Ujar beliau lagi, keengganan untuk menghentikan siaran itu sebagai sikap "hipokrit" Google yang memiliki YouTube sedangkan ia mematuhi peraturan di China.

"Thailand adalah negara kecil dan bukan kuasa ekonomi atau tentera, maka kami bergantung kepada belas kasihan ahli perniagaan tamak dari Amerika Syarikat (AS) itu," katanya.

Tambah beliau, tindakan undang-undang itu berunsur kebudayaan dan bukan politik kerana "rakyat Thailand berasa terhina dengan klip video tersebut."

Pihak berkuasa Thailand memandang berat penghinaan kepada raja.

Seorang lelaki Switzerland dijatuhkan hukuman penjara 10 tahun pada Mac lalu kerana menconteng gambar Bhumibol ketika mabuk.

Lelaki itu bagaimanapun diampunkan dan diusir dari Thailand.

- AP