Intipati perbualan 'pita'
15 Januari 2008 (Utusan Malaysia)

KUALA LUMPUR 14 Jan. - Suruhanjaya Siasatan Diraja berhubung klip video yang dinamakan The CJ Tape - Pita Ketua Hakim Negara telah menerima transkrip perbualan antara dua lelaki dalam rakaman tersebut.

Transkrip itu memaparkan perbualan telefon seorang lelaki India dan percakapan antara lelaki India tersebut dengan seorang lelaki Cina.

Antara intipatinya ialah:

  • Lelaki India menemui Tengku Adnan yang menyatakan beliau akan menjadikan pemanggil telefon memangku atau disahkan jawatan sebagai PCA (Presiden Mahkamah Rayuan).
  • Lelaki India menyatakan dia akan meminta Tengku Adnan menghubungi pemanggil untuk mengatur perjumpaan antaranya (pemanggil) dengan PM (Perdana Menteri).
  • Lelaki India menyatakan beliau menyuruh Tan Sri Vincent Tan memberitahu PM supaya melantik Datuk Ahmad Fairuz sebagai CJM (Hakim Besar Malaya).
  • Lelaki India juga menyatakan bahawa dia akan meminta Tan Sri Vincent supaya mengingatkan PM untuk menganugerah gelaran Tan Sri kepada pemanggil yang dipanggilnya sebagai Datuk.
  • Lelaki India memberitahu lelaki Cina bahawa pemanggil telefon itu ialah Hakim Besar Malaya dan pemangku Presiden Mahkamah Rayuan (ketika itu), Datuk Ahmad Fairuz.
  • Lelaki India itu menyatakan bahawa beliaulah yang meletakkan Ahmad Fairuz pada jawatannya ketika itu dan meminta lelaki Cina supaya tidak menghebahkan perkara itu kepada orang lain.
  • Lelaki India memberitahu lelaki Cina bahawa dia mempergunakan Tengku Adnan dan Vincent untuk mengatur orang yang perlu memegang jawatan penting.
  • Lelaki India juga memberitahu lelaki Cina bahawa dia mempunyai pengaruh terhadap PM yang akan mendengar kata-katanya dalam perkara yang penting.
  • Lelaki India mendakwa orang bernama Daim mempunyai kepentingan ekuiti yang lebih besar berbanding Vincent dalam syarikat Berjaya.