Muat turun klip video daripada laman web
16 Januari 2008 (Utusan Malaysia)

KUALA LUMPUR 15 Jan. - Seorang Penguasa Badan Pencegah Rasuah (BPR) memberitahu Suruhanjaya Siasatan Diraja bahawa klip video rakaman perbualan seorang peguam mengatur pelantikan hakim-hakim dimuat turun daripada laman web www.anwaribrahimblog. com.

Wan Zulkifli Wan Jusoh berkata, klip video selama 14 minit 15 saat itu dimuat dalam cakera keras komputer sebelum dipindahkan ke cakera padat pada 18 Disember tahun lalu.

Sementara itu, klip video selama lapan minit 26 saat yang mengandungi rakaman perbualan yang sama diperoleh daripada Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), R. Sivarasa.

Jelasnya, kedua-dua cakera padat (CD) itu diserahkan kepada Penguasa Kanan BPR, Chuah Lay Choo sebelum ia diserahkan kepada Juruanalisis Kanan Forensik Digital, Cyber Security Malaysia, Mohd. Zabri Adil Talib.

"Dua CD itu diserahkan kepada Mohd. Zabri untuk dianalisis video dan audionya bagi menentukan kesahihan rakaman dan pastikan ia tidak diganggu.

"Isi kandungannya saya lihat dulu dan kedua-duanya adalah klip video yang sama," jelasnya semasa ditanya oleh pegawai pengendali, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Azmi Ariffin.

Selain CD klip video, beliau juga menerima sampel suara yang dimuatkan dalam satu CD dan satu cakera padat digital (DVD) daripada Penguasa Moses Anak Lawrence.

Katanya, CD itu mengandungi sampel suara 22 penduduk Malaysia dan sementara DVD mengandungi sampel suara peguam Datuk V. K. Lingam.

"Saya dimaklumkan sampel suara Datuk V. K. Lingam dirakamkan sendiri oleh Moses. "Kedua-duanya saya serahkan kepada Cybersecutity pada 8 Januari lalu untuk dibuat perbandingan suara dengan rakaman klip video," jelasnya.

Bagaimanapun, berikutan ketiadaan teknologi terkini dalam negara untuk membuat analisis padanan suara, kata Wan Zulkifli, ia terpaksa dilakukan di Makmal Biometrik Aagnition di Madrid, Sepanyol.

Beliau bersama seorang pegawai BPR dan dua pegawai CyberSecurity, Aswami Fadhilah Mohd Ariffin dan Mohd Zabri Adil Talib berlepas ke sana pada 8 Januari lalu.

Sebaik analisis selesai, mereka kembali ke Malaysia pada 12 Januari lalu dan kesemua CD dan DVD diserahkan semula kepada Wan Zulkifli.