Rakaman klip video sahih, tiada pertindihan imej
16 Januari 2008 (Utusan Malaysia)

KUALA LUMPUR 15 Jan. - Pakar Forensik digital hari ini mengesahkan bahawa klip video lapan minit 26 saat dan 14 minit 15 saat yang memaparkan perbualan seorang peguam yang dikatakan mengatur pelantikan hakim-hakim adalah sahih serta tiada unsur-unsur suntingan atau pertindihan imej.

Juruanalisis Kanan Forensik Digital di CyberSecurity Malaysia, Mohd. Zabri Adil Talib, 28, turut mengesahkan bahawa Datuk V. K Lingam adalah lelaki yang bercakap di dalam klip video itu berdasarkan padanan suara kedua-duanya.

Menurut beliau, analisis bagi menguji kesahihan audio dan visual dilakukannya dengan meneliti kesinambungan antara satu rangka dengan rangka seterusnya menjurus kepada pergerakan objek yang dirakam dalam fail klip video itu.

Tegasnya, tiada sebarang pertukaran drastik dapat dilihat dalam setiap pergerakan imej selain persekitaran rakamannya yang konsisten.

"Analisis mendapati pergerakan objek yang dirakam dalam klip video itu konsisten, Ini menunjukkan rakaman video itu sahih serta tidak disunting atau diganggu.

"Ujian pendengaran juga dilakukan. Fail yang diekstrak dari rakaman itu adalah konsisten serta tiada sebarang proses dubbing (memasukkan suara)," katanya semasa memberi keterangan dalam prosiding Suruhanjaya Siasatan Diraja di sini hari ini.

Sementara suara lelaki di dalam klip video itu pula katanya padan dengan sampel suara Lingam yang diberi kepadanya selepas ia dianalisis di Makmal Biometrik Aagnition di Madrid, Sepanyol.

Menurut Mohd. Zabri, kesimpulan itu dibuat berdasarkan markah nisbah kebarangkalian yang diperoleh sebanyak 185 dengan menggunakan Sistem Pengenalan Pembesar Suara Automatik. Jelasnya, jumlah tersebut menunjukkan padanan ke atas kedua-dua sampel yang diberi adalah cukup kuat untuk diterima di mahkamah.

"Markah nisbah kebarangkalian sebanyak 185 yang diperoleh hasil padanan kedua-dua sampel yang diberi menunjukkan suara yang tidak dikenali (klip video) datang dari sumber yang sama dengan suara dikenali (Lingam)," jelasnya.

Tambah Zabri, suara dalam klip video tersebut juga padan dengan salah satu sampel suara penduduk Malaysia berdasarkan lenggok bahasa dan nada intonasinya.

Jelasnya, ujian itu dilakukan membandingkan sampel itu dengan bahagian percakapan dalam klip video yang paling banyak mempunyai karakter unik.

Semasa beliau memperdengarkan bahagian perbualan pada minit ketujuh kepada suruhanjaya, ia jelas dapat di dengar perkataan-perkataan yang disebut berulang kali iaitu 'correct', 'ah', 'yes' dan 'ya'.

Sementara sampel suara penduduk Malaysia pula merupakan suara seorang lelaki membacakan semula satu bahagian daripada transkrip percakapan Lingam di dalam klip video dengan gayanya sendiri.

Bagi memudahkan ahli suruhanjaya memahami tentang kaedah analisis padanan suara yang dibuat di Madrid, Mohd. Zabri memberi penerangan yang panjang lebar dengan menggunakan televisyen berdefinasi tinggi (HDTV).

Semasa ditanya oleh peguam Ranjit Singh yang mewakili Majlis Peguam tentang sampel-sampel suara yang diuji, kata Mohd Zabri, dia tidak mengetahui suara siapa yang terdapat dalam cakera padat (CD) serta cakera padat digital (DVD) yang diberi kepadanya. Beliau menerima dua CD yang mengandungi klip video untuk diuji kesahihannya daripada Penguasa Badan Pencegah Rasuah (BPR), Wan Zulkifl Wan Jusoh.

Turut diterima ialah sekeping CD yang mengandungi 22 sampel suara penduduk Malaysia dan DVD digital yang mengandungi sampel suara seorang lelaki yang dikenali sebagai Lingam. Katanya, ujian kesahihan klip video dilakukan di CyberSecurity, manakala ujian padanan suara dilakukan di Madrid, Sepanyol berikutan Malaysia tidak mempunyai kemudahan tersebut.