Pengunjung kempen laman web meningkat
5 Mac 2008 (Berita Harian)

KUALA LUMPUR: Pendekatan berkempen menerusi dunia digital atau perang siber menyemarakkan lagi kempen Pilihan Raya Umum Ke-12 ini dengan mencatatkan peningkatan pengunjung laman web yang mendadak sepanjang tempoh seminggu selepas penamaan calon, 24 Februari lalu.

Berkempen menerusi alam siber khususnya laman web, blog politik, khidmat pesanan ringkas (SMS), emel dan persidangan video menjadi kaedah baru yang menghangatkan suasana berkempen sama ada membabitkan parti atau calon yang bertanding bagi tempoh 13 hari sehingga Sabtu ini.

Antara laman web terbabit ialah Barisan Nasional (BN) iaitu www.bn2008.gov.my, ia mencatatkan peningkatan semasa 40,000 pengunjung sepanjang minggu pertama kempen bermula berbanding 6,000 pengunjung ketika dirasmikan, 25 Februari lalu.

Laman web parti pembangkang seperti DAP juga mencatatkan kadar peningkatan melebihi sekali ganda berjumlah 133,929 pengunjung sehingga penghujung Februari lalu berbanding 64,997 pengunjung sebelum bermula pilihan raya.

Bagi Parti Keadilan Rakyat (PKR), laman webnya mencatatkan peningkatan 11,000 pengunjung bagi tempoh yang sama berbanding 2,000 pengunjung pada hari penamaan calon.

Sementara laman web akhbar Bahasa Melayu tempatan seperti Berita Harian dan Harian Metro turut mendapat sambutan menggalakkan sepanjang musim pilihan raya kali ini.

Menerusi www.bharian.com.my, laman web Berita Harian mencatatkan peningkatan ketara mencecah 138,000 pengunjung semalam berbanding purata 74,000 pengunjung sebelum musim pilihan raya.

Laman web pilihan raya Harian Metro (praya.hmetro.com.my) juga mencatatkan pertumbuhan sehingga 6,000 pengunjung bagi tempoh yang sama berbanding 1,664 selepas tempoh sembilan hari sejak dilancarkan.

Setiausaha Kerja BN, Senator Datuk Yaakob Mohammad, berkata kempen menerusi laman web adalah antara pendekatan BN bagi melonjakkan lagi populariti calon, khususnya di bandar.

Beliau berkata, laman web dibangunkan itu memudahkan pengundi mengakses maklumat terkini, visi parti dan manifesto dilancarkan Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, baru-baru ini.

"Laman web BN dibangunkan khusus untuk golongan celik teknologi maklumat (IT) seluruh negara apabila ia mampu memperkasa jentera kempen BN walaupun masih wujud jurang digital di kawasan luar bandar ketika ini," katanya.

Mengulas penyalahgunaan laman web dan blog di kalangan parti pembangkang, Yaakob berkata, kerajaan mempunyai akta bagi mengawalnya, terutama membabitkan isu sensitif yang boleh mengganggu kestabilan politik Malaysia.

Ketua Program Sains Politik Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr Mohammad Agus Yusof, berkata pendekatan digital masih kurang digunakan apabila pihak atau parti yang terbabit dalam pilihan raya umum kali ini masih lagi cenderung menggunakan kaedah tradisional.

"Hampir 50 peratus parti atau calon masih bergantung kepada media cetak, elektronik, ceramah terbuka, kempen rumah ke rumah dan pemasangan poster sebagai sumber penyampaian maklumat kepada pengundi.

"Calon dilihat masih selesa menggunakan pendekatan lama ini dan berdasarkan kajian saya, antara faktor penyumbang utama kepada kelembapan penggunaan sistem digital ialah kadar penembusan internet yang masih rendah serta wujudnya jurang digital penduduk di luar bandar," katanya.

Penggunaan kaedah siber untuk berkempen mula digunakan di negara ini pada pilihan raya umum 1999, tetapi hanya berkembang pada 2004 berikutan peningkatan pengguna internet di Malaysia.

Ketua Jabatan Pengajian Media Universiti Malaya (UM), Profesor Dr Azizah Hamzah, berkata dalam pilihan raya sebelum ini khususnya pada 1999, kerajaan dilihat berhati-hati dan kurang yakin terhadap kemampuan memujuk atau menawan hati pengundi menerusi gerbang internet.

"Namun, ia dilihat meningkat antara empat hingga lima kali ganda pada pilihan raya umum ini berbanding pilihan raya 2004. Walaupun lebih tertumpu di bandar, parti politik yang bertanding nampaknya bersikap terbuka dan rasional dalam memperkenalkan laman web atau blog mereka sejajar dengan perkembangan mendadak ICT di negara ini," katanya.