Penghantar SMS fitnah kena dakwa
5 Mac 2008 (Berita Harian)
Oleh Mohamed Farid Noh

SKMM siasat data telefon bimbit peribadi pengguna

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memberi amaran akan mengambil tindakan terhadap pihak yang menyalahgunakan data nombor telefon bimbit peribadi pengguna untuk menghantar SMS berbentuk perkauman, fitnah dan hasutan.

Ketua Komunikasi Korporatnya, Mohd Tahir Mohd Noor, berkata maklumat nombor talian peribadi pengguna adalah rahsia, tidak boleh didedahkan atau diguna sewenang-wenangnya tanpa keizinan.

"Apa yang penting, mangsa fitnah perlu mengemukakan aduan secara rasmi. SKMM akan menyiasat bagaimana nombor telefon bimbit pengguna diperoleh bagi menyebarkan SMS berbentuk fitnah dan hasutan itu kerana ia adalah maklumat peribadi yang tidak boleh dimanipulasi tanpa kebenaran.

"Jika data nombor telefon itu diperoleh tanpa kebenaran, ia adalah kesalahan mencuri data yang boleh didakwa di mahkamah mengikut Akta Jenayah Komputer 1997 dengan setiap kesalahan boleh membawa hukuman denda maksimum RM50,000 dan penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali.

"Jika terbukti nombor telefon diperoleh secara tidak sah, penyebar SMS berdepan dua kesalahan iaitu menggunakan data nombor telefon tanpa kebenaran serta menyebarkan SMS berunsur fitnah dan hasutan," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Beliau mengulas laporan akhbar semalam mengenai calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lenggeng, Mustafa Salim mendedahkan taktik kotor pihak tertentu dipercayai pembangkang menghantar SMS berunsur fitnah kepada penduduk mendakwa beliau malas turun padang berjumpa masyarakat.

Minggu lalu, Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu, menyifatkan tindakan sesetengah pihak menyebar fitnah dan tohmahan menerusi SMS sebagai perbuatan orang gila.

Mohd Tahir berkata, bagi kes menggunakan SMS untuk menyebarkan fitnah serta mesej berbaur hasutan pula, seseorang itu boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang didenda RM50,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi setahun atau kedua-duanya sekali.

"Pesalah juga boleh dikenakan hukuman tambahan iaitu RM1,000 sehari bagi mesej yang masih terus disebarkan setiap hari sehingga ia dihentikan.

"Bagaimanapun, SKMM tidak dapat menapis kandungan SMS yang dihantar kepada orang ramai. Jika kita menerima laporan orang ramai mengenai SMS fitnah, kita pasti akan mengambil tindakan," katanya.

Sebagai panduan kepada mangsa fitnah, beliau menasihati supaya mangsa melaporkannya kepada polis berserta butiran SMS sebagai bukti untuk proses siasatan.

Aduan juga boleh dibuat kepada SKMM dengan menghubungi 1-800-888-030, e-mel ke aduanskmm@cmc.gov.my atau faks ke 03-86881880.