PM terima 5,887 e-mel aduan rakyat
6 Mac 2008 (Berita Harian)
Oleh Siti Nurazlinee Azmi

Pak Lah semak sendiri aduan, cadangan, kritikan

KUALA LUMPUR: Laman web khas Perdana Menteri www.warkahuntukpm.com.my menerima 5,887 e-mel sehingga petang semalam, meningkat hampir sekali ganda berbanding kelmarin sebanyak 2,229 e-mel bagi memberi ruang kepada rakyat menyuarakan masalah dan pandangan mereka mengenai isu semasa secara terus kepada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Laman web rasmi itu bukan saja menjadi kebanggaan rakyat Malaysia, malah turut dirasai mereka yang berada di luar negara kerana kewujudannya dianggap sebagai medan berinteraksi secara terus dan telus dengan Perdana Menteri walaupun berada jauh di perantauan.

Presiden Yayasan Kajian dan Strategi Melayu, Datuk Dr Mohd Radzi Abdul Latif, berkata selain mendekatkan rakyat dengan pemimpin, sambutan menggalakkan itu dapat mendidik rakyat menggunakan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) selaras dengan matlamat kerajaan yang mahukan rakyat bersedia menghadapi era baru.

"Sebarang aduan dan pandangan yang dikemukakan akan dihantar terus kepada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di laman web berkenaan dan setiap aduan, cadangan dan kritikan yang dihantar akan disemak beliau secara peribadi.

"Selaras dengan inti pati untuk membela nasib rakyat, saya percaya suara rakyat diberi perhatian dan tindakan selanjutnya akan diambil sekiranya memerlukan Perdana Menteri bertindak demikian," katanya ketika dihubungi semalam.
Bagaimanapun, Mohd Radzi berkata, kebanyakan e-mel diterima daripada mereka yang menghargai kerajaan dan menyanjung tinggi jasa Perdana Menteri, selain idea bernas bagi pembangunan negara.

"Era siber sebagai pentas untuk rakyat berterus terang mengenai apa saja masalah yang dihadapi dan seharusnya digunakan sebaik mungkin. Kepercayaan perlu diberikan kepada Perdana Menteri supaya beliau dapat memberi maklum balas mengenai apa saja disuarakan menerusi laman berkenaan sama ada berbentuk cadangan atau kritikan," katanya.

Radzi percaya Abdullah dapat menilai sendiri apa yang cuba disampaikan rakyat sekali gus berupaya memperbaiki segala kekurangan pada masa hadapan.

Katanya, 1,659 e-mel berbentuk harapan diterima dan tersenarai antara jumlah paling tinggi, diikuti aduan (1,636), cadangan (1,431), sokongan (837) dan kritikan (324).
Laman yang dibangunkan tujuh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu bertanggungjawab membangun dan menyediakan maklum balas mengenai cadangan dan aduan daripada rakyat terus kepada pemimpin.

Antara NGO terbabit Yayasan Kajian dan Strategi Melayu (YKSM), Yayasan Pekerja Malaysia, Majlis Kebangsaan Pertubuhan Wanita (NCWO), Dewan Perniagaan Melayu Malaysia, Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia, Cuepacs dan Tabung Amanah Muhibah (Tamu).