E-Kempen pikat pengundi muda
6 March 2008 (Kosmo)

KUALA LUMPUR - Penggunaan medium teknologi maklumat (IT) atau e-Kempen kini dilihat semakin meluas di kalangan calon-calon yang bertanding pada pilihan raya umum kali ini. Ini kerana ia dilihat antara cara paling berkesan pada era masa kini kerana kos yang murah, tetapi efektif.

Ketua Program Sains Politik Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Madya Mohammad Agus Yusoff berkata, penggunaan IT mampu memperkenalkan calon dan parti yang bertanding secara meluas termasuk kepada pengundi muda yang didapati selesa menggunakannya.

Malah ia juga dapat memberi gambaran besar dan positif kepada pengundi bahawa calon tersebut bijak, berilmu dan berpengetahuan tinggi. Seiring dengan penggunaan IT yang canggih, penggunaan khidmat pesanan ringkas (SMS) melalui telefon bimbit, internet dan pelbagai teknologi lain boleh dijadikan strategi memenangi hati pengundi.

Tidak terkecuali kempen melalui blog, portal persendirian, web interaktif televisyen dan majalah elektronik.

Menurut Pegawai Khas Pengerusi dan Pemangku Pengarah Komunikasi Korporat SKMM, Muhamad Tahir Muhamad Noor, penggunaan dan penguasaan teknologi terkini dan canggih semakin bertambah setiap tahun dan ia digunakan untuk berkempen.

Malah jelasnya, teknologi seperti SMS, internet semakin mendapat tempat di hati masyarakat untuk mendapatkan seberapa banyak maklumat termasuk perkembangan kempen sepanjang pilihan raya. "Mungkin ada calon menggunakan SMS atau khidmat pesanan multimedia dan pelbagai lagi untuk memancing undi termasuk pada saat-saat akhir hendak mengundi sekalipun," katanya.

Seorang perunding yang menjalankan e-Kempen, Zakri Hishamuddin pula berkata, pendekatan melalui internet kini amat relevan digunakan calon pilihan raya dalam mendekati pengundi terutamanya di kalangan golongan intelektual dan profesional.

Malah ujarnya, tahap keberkesanan penggunaannya juga memberangsangkan apabila manifesto calon akan sampai terus di depan mata pengundi. "Pada 2004, cara ini digunakan oleh beberapa calon dan ia menunjukkan sesuatu yang positif di mana mereka berjaya meraih undi penduduk di kawasan mereka.

"Kali ini ia (e-Kempen) dijangka digunakan secara lebih meluas," ujarnya. Zakri memberitahu, terdapat beberapa sistem dan produk yang menjadi pilihan bagi memberi jalan mudah kepada calon untuk memperkenalkan diri.

Bagaimanapun menurutnya, antara medium e-Kempen paling berkesan bagi kempen dan pilihan calon ialah dengan menggunakan perkhidmatan menerusi SMS telefon bimbit.