Menteri Penerangan mahu temui penulis blog
22 Mac 2008 (Utusan Malaysia)
Oleh SAIFUL HAIZAN HASAM

KUALA LUMPUR 21 Mac - Kementerian Penerangan akan mengadakan pertemuan dengan penulis blog dalam masa terdekat bagi mendekati dan memahami golongan penggerak media alternatif itu.

Menterinya, Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata, adalah tidak wajar bagi pihaknya untuk mengenepikan penulis blog kerana mereka juga mempunyai peranan tersendiri dalam membina negara.

Katanya, blog telah dijadikan medium oleh rakyat untuk menyampaikan pandangan secara terus kepada kerajaan walaupun ada kalanya boleh menimbulkan perkara negatif.

"Amat perlu untuk (Kementerian Penerangan) memahami mereka dengan lebih dekat, ini prinsip keterbukaan yang saya rasakan tidak boleh kita hindari.

"Walaupun ada kalanya cara penyampaian mereka boleh menimbulkan perkara negatif, saya percaya banyak perkara positif yang boleh saya ambil daripada penulis blog," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengadakan mesyuarat bersama pegawai kanan Kementerian Penerangan di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Penerangan, Datuk Tan Lian Hoe.

Ditanya adakah pertemuan itu merupakan usaha awal kerajaan untuk mengawal penulis blog, Ahmad Shabery berkata, isu itu sama sekali tidak timbul.

"Saya mahu bertemu mereka dahulu, kita boleh membawa kuda ke tempat air tetapi tidak boleh memaksa kuda minum air.

"Saya rasa adalah lebih baik untuk saya menjadi pendengar yang baik sebelum mereka mendengar cakap saya," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, penulis blog tidak semestinya dianggap sebagai pembangkang apabila mereka menyatakan pandangan alternatif.

Katanya, ada kalanya penulis blog yang dilihat menjadi penyokong pembangkang turut mengkritik dasar parti-parti pembangkang.

Mengenai peranan blog dalam pilihan raya umum lalu, beliau berkata, mesej yang disampaikan rakyat melalui keputusan pilihan raya itu banyak dibuat oleh pengundi kelas pertengahan.

Katanya, golongan itu mempunyai akses Internet yang membolehkan mereka mendapat maklumat alternatif selain akhbar dan televisyen.

"Sudah tentu saya rasakan peranan yang dimainkan mereka perlu difahami," tegasnya.