Gadis rayu buka seluar
21 Mac 2008 (Harian Metro)
Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin

KUALA LUMPUR: Bijak menggoda dengan kata membangkit ghairah adalah senjata digunakan seorang gadis untuk memerangkap segelintir lelaki supaya akur pada pujukannya membuka seluar dalam sebelum gambar bogel mangsa dijadikan modal aktiviti peras ugut.

Gadis berkenaan yang mencari mangsa di dalam laman kenalan di internet akan menggunakan taktik licik supaya mangsa rela berbogel dan dirakam melalui kamera web.

Gambar bogel mangsa golongan lelaki dijadikan 'ala' meminta wang tebusan daripada mangsa yang bimbang sekiranya klip video memalukan itu tersebar kepada orang ramai.

Dalam kes terbaru semalam, seorang penasihat kewangan yang mahu dikenali sebagai Alexandra, 25, menjadi mangsa hanya selepas sejam berkenalan dengan gadis berkenaan melalui laman web.

Mangsa yang ditemui semalam berkata, dalam kejadian jam 5.30 pagi itu dia yang baru pulang dari rumah seorang rakan melayari laman Internet bagi mencari rakan yang boleh diajak 'bersembang'.

Menurutnya, dia kemudian berkenalan dengan seorang pelayar internet yang mendakwa dirinya sebagai seorang gadis dengan nama samaran Jean.

"Bagaimanapun selepas beberapa minit 'bersembang' melalui laman web terbabit, Jean memberitahu nama sebenarnya Lisa.

"Pada peringkat awal, kami sekadar bersembang melalui internet berhubung soal peribadi dan kerjaya. Perbualan kami menyimpang ke arah topik 'panas' apabila Lisa seolah-olah merangsang minat saya ke arah topik seks," katanya.

Menurutnya, Lisa kemudian membuat 'permintaan' memeranjatkan apabila merayu dia membuka seluar dalamnya serta berbogel.

Alexandra berkata, gadis itu menggunakan kata-kata pujukan lucah kononnya dia teringin menatap 'barang' lelaki.

"Dia meminta saya berdiri di hadapan kamera web yang dipasang pada komputer saya bagi membolehkan aksi saya itu turut ditonton menerusi Internet.

"Saya yang ketika itu dalam keadaan khayal selepas mengambil minuman keras menurunkan seluar dalam sebelum menunjukkan alat sulit saya ke arah kamera web dipasang," katanya.

Menurutnya, kira-kira 15 minit kemudian, Lisa menghantar dua klip video melalui Internet kepadanya yang mengandungi babak aksi dirinya sendiri sedang berbogel sebelum ini.

"Tidak sampai tiga jam kemudian, saya mula menerima SMS dari Lisa mengugut menyebarkan klip video itu ke Internet bagi tatapan umum.

"SMS itu menyebabkan saya terkejut dan cemas kerana bimbang Lisa memalukan saya dan keluarga," katanya.

Menurutnya, Lisa menghantar beberapa SMS lagi yang memintanya membayar RM1,800 sebagai 'tebusan' sekiranya enggan gambar bogelnya didedahkan.

"Saya yang terdesak membayar wang itu melalui pemindahan wang dari dalam akaun bank sekitar jam 10.20 pagi. Pada masa sama Lisa mengarahkannya memasukkan tambah nilai talian prabayar ke telefon bimbitnya berjumlah RM30.

"Malangnya, Lisa yang menerima bayaran wang ugutan itu menyebarkan gambar bogel saya dalam Internet menyebabkan saya mengalami tekanan perasaan akibat malu," katanya yang sudah membuat laporan polis.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner II Ku Chin Wah, memberitahu akan menyiasat kes peras ugut berkenaan

Ketua Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Micheal Chong berkata, kes seumpama itu kerap berlaku berdasarkan lima kes sepanjang tahun lalu.