Internet, SMS monopoli iklan
27 Mac 2008 (Berita Harian)
Oleh Mohamed Farid Noh

KUALA LUMPUR: Sektor pengiklanan negara dijangka mengalami perubahan drastik dalam tempoh lima tahun lagi dengan tumpuan kepada penggunaan media baru seperti internet dan khidmat pesanan ringkas (SMS) bagi memasarkan produk atau perkhidmatan terus kepada pengguna.

Pengerusi Audit Bureau of Circulation (ABC), Peter Anthony Das, berkata buat masa ini, media tradisional seperti akhbar, televisyen dan radio masih memonopoli jumlah perbelanjaan iklan antara 70 hingga 80 peratus.

"Dalam tempoh lima tahun lagi penguasaan media tradisional terhadap perbelanjaan iklan mungkin akan mula terhakis. Apalagi dengan aliran terbaru dalam negara menunjukkan kuasa internet dan SMS mampu menarik perhatian golongan muda dengan berkesan.

"ABC menyokong saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, kelmarin yang mahu perhatian lebih diberikan terhadap teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) kerana semakin ramai golongan muda menggunakan media terbabit.

"Kami berharap supaya negara bersedia sepenuhnya apabila tiba masanya media baru digunakan secara meluas," katanya pada sidang media di sini, semalam.

Hadir sama, Ahli Lembaga Pengarah ABC, Mirza Mohamed Tariq dan Adi Satria serta Pengarah Perundingan dan Pemasaran Sun Media Corporation Bhd, Prashun Dutt.

Sementara itu, Peter berkata, ABC akan menganjurkan satu seminar bagi mempersiapkan industri media negara berhadapan dengan cabaran kemunculan media baru.

"Seminar tiga hari yang akan diadakan mulai 18 April depan di Genting Highlands khusus untuk mereka yang terbabit dengan industri media bagi mengkaji, menganalisis serta memberikan idea baru bagaimana media baru boleh dieksploitasi dan diganding bersama media tradisional sedia ada.

"ABC juga berharap institusi pendidikan tinggi (IPT) tempatan mengambil bahagian dalam seminar itu sebagai peserta kerana mereka bertanggungjawab dalam mengeluarkan graduan sektor media pada masa depan," katanya.