Pemuda umpan cinta di Internet
5 April 2008 (Harian Metro)
Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Intan Mas Ayu Shahimi

KUALA LUMPUR: Minat gila melakukan hubungan seks dengan kanak-kanak mendorong seorang pemuda menggunakan lawab web mencari kenalan di Internet sebagai jerat untuk menggoda dan memikat gadis sekolah sebelum dipujuk melarikan diri dari rumah.

Dalam kes terbaru, pemuda berusia 24 tahun itu didakwa menawan hati seorang murid perempuan berusia 12 tahun selepas berkenalan beberapa minggu melalui Internet.

Malah, hubungan intim itu berlanjutan apabila mangsa yang masih mentah berhubung soal cinta turut digoda menggunakan SMS sebelum diajak tinggal bersama.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Ahmad Amir Mohd Hashim, berkata kegiatan tidak bermoral lelaki itu terbongkar selepas polis menerima aduan seorang wanita berhubung kehilangan anak gadisnya pada 24 April lalu.

Menurutnya, dalam kejadian itu, anak mangsa yang masih bersekolah dilaporkan hilang sekitar jam 6.15 pagi selepas menaiki bas sekolah.

"Difahamkan anak perempuan mangsa meminta pemandu bas sekolah wanita menurunkannya berhampiran Stesen LRT Miharja, Cheras dengan alasan mempunyai aktiviti di sekolah.

"Pemandu bas terbabit yang tidak mengesyaki apa-apa menurunkan mangsa di lokasi terbabit. Dipercayai, mangsa menaiki LRT dari Stesen Miharja menuju Stesen LRT Cempaka sebelum dijemput lelaki terbabit," katanya.

Menurutnya, mangsa dibawa lari suspek yang bekerja sebagai penjual telefon bimbit ke lokasi jauh dari ibu kota.

"Kehilangan mangsa disedari ibunya apabila mangsa tidak pulang ke rumah pada petang kejadian.

"Malah, ibu mangsa mendakwa turut menerima SMS daripada anaknya yang memberitahu dia dalam keadaan selamat dan memberitahu ingin bebas kawalan ibunya itu," katanya.

Menurutnya, ibu mangsa yang mengesyaki anaknya melarikan diri dengan teman lelaki segera membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Cheras sebelum siasatan segera dilakukan.

"Polis menggunakan kepakaran dimiliki untuk mengesan puluhan SMS 'cinta' yang dihantar suspek kepada mangsa. Bantuan daripada syarikat telekomunikasi turut memudahkan polis mengenal pasti identiti suspek dan lokasi panggilan terbabit dilakukan.

"Hasil siasatan berterusan polis, suspek akhirnya dijejaki di sebuah rumah di Kampung Sungai Kerpan, Kuala Lipis, Pahang,

"Berikutan itu sepasukan anggota dari Balai Polis Kuala Lipis menyerbu rumah terbabit jam 4 pagi, Selasa lalu sebelum memberkas suspek," katanya.

Menurutnya, hasil serbuan itu, polis menemui semula kanak-kanak perempuan berkenaan yang disorokkan dalam kediaman terbabit.

"Ada kemungkinan suspek sudah melakukan hubungan seks dengan kanak-kanak perempuan itu, namun perkara terbabit masih dalam siasatan polis. Mangsa sudah dihantar ke hospital untuk menjalani pemeriksaan kesihatan.

"Suspek kini ditahan reman dan bakal didakwa mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan kerana melarikan orang daripada jagaan yang sah selain akan turut didakwa atas kesalahan merogol," katanya.

Menurutnya, siasatan polis turut tidak menolak kemungkinan keretakan hubungan keluarga turut menyumbang kepada punca kejadian.

"Kejadian seumpama ini boleh dielakkan sekiranya penjaga segera memaklumkan kepada polis selain memantau pergerakan dan pergaulan anak dengan rapi," katanya yang turut memuji kecekapan anggotanya menyelesaikan kes kehilangan berkenaan.

Sementara itu, suspek dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini semalam atas tuduhan menculik seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun.

Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Wan Nusalena Wan Abdullah.

Mengikut Seksyen 363 kanun Keseksaan, tertuduh boleh dihukum penjara maksimum tujuh tahun penjara dan denda jika sabit kesalahan.

Pihak pendakwaan menawarkan jaminan RM7,000 kepada tertuduh dengan seorang penjamin.

Wan Nursalena kemudian mengekalkan jaminan sehingga penjamin tertuduh hadir sebelum menetapkan 3 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula.