Kes Penipuan Internet Meningkat 26 Peratus
29 April 2008 (Berita Harian)

Putrajaya: Kes penipuan melalui internet yang dilaporkan kepada Siber Malaysia (CyberSecurity Malaysia) tahun lalu meningkat 26 peratus kepada 364 kes berbanding 287 kes yang dicatatkan pada 2006.

Tahun lalu, 1,038 kes keselamatan internet membabitkan penggodam komputer, kod berbahaya, penipuan internet, ancaman pencerobohan, serangan dos dan gangguan terhadap pengguna internet berbanding 1,372 yang dilaporkan pada 2006.

Ketua Pusat Keselamatan Siber Malaysia (CyberSecurity), Leftenan Kolonen (B) Husin Jazri, berkata walaupun laporan keseluruhan kes keselamatan internet menurun 334 kes tahun lalu, kes membabitkan penipuan melalui internet terus meningkat dan membimbangkan.

Beliau berkata, jika tidak dibendung penipuan melalui internet dijangka terus meningkat berdasarkan kepada statistik semasa yang menunjukkan berlaku peningkatan pada suku tahun pertama tahun ini yang mencatat 33 kes berbanding 22 kes dalam tempoh sama tahun lalu.

"Antara penipuan paling popular adalah 'phising', penipuan sindiket Nigeria, penipuan loteri, pelaburan internet, pembohongan dan skim piramid yang menyebabkan pengguna mengalami kerugian berikutan maklumat peribadi yang terdedah kepada penjenayah siber.

"Pengguna internet perlu sentiasa berhati-hati ketika memberi maklumat peribadi dalam laman web, e-mel, sistem mesej segera, bilik bual atau pada papan mesej untuk mengelak daripada menjadi mangsa.

"Antara tindakan yang boleh diambil pengguna adalah dengan menggunakan perisian antivirus, antispyware dan firewall selain sentiasa memastikan perisian itu dikemaskinikan," katanya ketika menemui pemberita di sini, semalam.

Husin berkata, melalui Cyber999, 95 peratus kes keselamatan internet diselesaikan hasil kerjasama diberi pelbagai pihak termasuk penyedia perkhidmatan internet di dalam dan luar negara, pihak berkuasa tempatan serta pengguna internet sendiri.

Katanya, selain Cyber999 antara langkah yang sudah diambil oleh Siber Malaysia untuk meningkatkan keupayaannya adalah dengan mengadakan kerjasama dengan agensi lain seperti Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.