CyberSecurity pantau penipuan internet
26 Mei 2006 (Berita Harian)
Oleh Kamisah Bohari

KUCHING: Pengguna internet perlu melaporkan segera sebarang penipuan melalui internet kepada CyberSecurity Malaysia bagi membolehkan tindakan segera diambil.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Fadillah Yusof, berkata kes penipuan melalui internet semakin meningkat sejak kebelakangan ini serta membimbangkan.

Beliau berkata, pengguna yang tertipu tidak perlu takut kerana maklumat mereka akan dilindungi sepenuhnya.

"Antara penipuan dikesan termasuk data kad kredit dan akuan bank, iklan dan tawaran hadiah, pembohongan serta pelaburan internet yang menyebabkan pengguna mengalami kerugian berikutan maklumat peribadi yang terdedah kepada penjenayah siber.

"Pengguna internet perlu sentiasa berhati-hati ketika mendedahkan maklumat peribadi dalam laman web, e-mel, SMS, bilik bual, bagi mengelak menjadi mangsa," katanya kepada pemberita selepas melancarkan kempen dan pameran keselamatan jalan raya di Taman Letak kereta Sukma Ria, Jalan Sultan Tengah di sini, semalam.

Beliau berkata, golongan remaja adalah antara yang dikenal pasti sering menjadi mangsa melalui ugutan internet.

"Mereka sering melayari bilik bual sosial di laman web, berkenalan dengan orang yang tidak dikenali dan memberikan maklumat peribadi," katanya.

Beliau berkata, kes ugutan kebiasaannya membabitkan penipuan dengan menawarkan mangsa menjadi model.

"Ada kes yang mangsa ditawarkan menjadi model, tetapi dipaksa bergambar dalam keadaan yang mengaibkan. Mereka diugut dan sekiranya enggan memberikan wang yang dituntut, gambar mereka dipaparkan dalam internet," katanya.